Konflik di Asia Barat telah mengundang banyak pandangan yang berbeza. Ada berpendapat bahawa petroleum merupakan faktor tercetusnya konflik.

Sebilangan yang lain pula menyalahkan sifat tamak Amerika Syarikat dalam menguasai dunia (quest for global domination).

Ada pula berpandangan bahawa konflik itu berpunca akibat sikap bangsa Arab itu sendiri yang berpecah-belah.

Untuk memahami konflik yang sangat kompleks ini memerlukan usaha yang sangat panjang. Namun sebagai permulaan, mari kita kenali dahulu negara-negara yang terlibat dalam konflik-konflik yang pernah berlaku di sana (who’s who).

ISRAEL
Negara yang penuh kontroversi ini ditubuhkan pada 1948 di atas tanah Palestin. Walaupun bersaiz lebih kecil dari negeri Perak (20,770km persegi), namun itu tidak menghalang mereka untuk menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear (sekiranya Pakistan tidak dianggap sebagai Asia Barat).

Negara Israel ini ibarat “kecil-kecil cili api”, kerana semenjak 1948, mereka sentiasa diperangi dari pelbagai sudut namun tetap boleh bertahan.

Antara kontroversi yang melingkari mereka termasuklah polisi-polisi yang menzalimi warga Palestin, tindakan melobi kerajaan AS dan beberapa kerajaan di Eropah demi kepentingan politik di samping agenda mereka bagi menumbangkan negara-negara Arab dengan cara yang tidak demokratik menggunakan strategi regime-overthrow berbanding regime-change.

PALESTIN
Ini juga merupakan sebuah lagi negara yang penuh kontroversi, kerana berkongsi tanah air dengan Israel. Membuatkan keadaan lebih “panas’ ialah apabila Masjid Al-Aqsa yakni kiblat pertama umat Islam juga terletak di sini.

Penduduk di sini terdiri dari orang Arab dan Kristian, dan ini menjadikan Palestin/Israel sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengalami pertembungan tiga agama samawi (Islam, Kristian dan Judaism).

Barangkali atas sebab ini jugalah sebilangan penyelidik melihat bahawa isu di sini akan mencetuskan peperangan yang besar di masa akan datang.

Nasib warga Palestin dan Masjid al-Aqsa kebelakangan ini semakin mendapat perhatian dunia, dan oleh itu lebih banyak tindakan telah dilakukan bagi mengekang polisi Israel terhadap rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Dari aspek kemanusiaan, antara tindakan global yang sedang dipergiatkan termasuklah memperhebatkan sumbangan bantuan kemanusiaan disamping melakukan kempen boikot, yang turut disertai oleh nama-nama besar dunia termasuk pemain bass Pink Floyd, Roger Water.

Manakala dari aspek kesucian agama Islam pula, negara Turki misalnya pernah menggertak untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya Baitulmaqdis diisytihar sebagai ibu negara mereka.

SYRIA
Kalau diukur dari sejarah peradaban Asia Barat yang panjang, Syria boleh diibaratkan sebagai bayi yang baru lahir. Mereka berada di bawah jajahan Perancis dan akhirnya mendapat kemerdekaan semasa Perang Dunia Kedua berlangsung, yakni pada 1944.

Oleh kerana “dilahirkan” saat dunia sedang berperang, barangkali itu menjadikan warga Syria – yang terdiri dari Islam dan Kristian – sangat cekal untuk hidup di benua penuh konflik itu.

Mereka merupakan musuh ketat Israel, bahkan semua peperangan melibatkan negara Arab dengan Israel akan menyaksikan Syria terlibat, dan ini tidak menghairankan apabila melihatkan kedudukannya yang bersebelahan dengan Israel.

Kedudukan yang rapat itu juga menjadikan Syria sebagai safehouse kepada pelarian Palestin yang diusir Israel, bahkan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin juga turut menerima bantuan latihan, logistik dan moral dari kerajaan Syria. Itu meningkatkan lagi kemarahan Israel terhadap kerajaan Syria.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada konflik Syria termasuklah dasar luar kerajaan mereka yang dilihat semakin membuka pintu kepada Rusia dan Iran, di mana kedua-dua negara ini memang merupakan seteru utama Amerika Syarikat dan Israel.

LUBNAN
Lubnan adalah antara negara di Asia Barat yang mempunyai populasi penganut Kristian paling besar, yakni sebanyak 36%. Ini menjadikan Kristian sebagai agama kedua terbesar di sana.

Sama seperti Syria, Lubnan turut berkongsi sempadan dengan Israel dan atas faktor itu, Israel turut melihat Lubnan sebagai musuhnya. Kenyataan ini dapat dilihat melalui langkah Lubnan yang lantang memperjuangkan nasib Palestin.

Perseteruan antara mereka menjadi lebih hangat kerana isu sungai Lithani di Lubnan, di mana Israel dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat (AS) berusaha merampas sungai itu untuk dijadikan sumber air bagi negara Israel.

Namun, cubaan Israel dan sekutunya AS setakat ini masih belum berjaya kerana sayap ketenteraan Lubnan iaitu Hezbollah merupakan tentera yang cekap dan sukar dikalahkan.

IRAQ
Negara ini pernah mencetuskan kegemparan apabila pada 7 Jun 1981, keamanan Iraq – yang dihuni warga Arab Sunni, Syiah dan puak Kurdish – tiba-tiba dinodai apabila pesawat tempur Israel buatan AS melakukan serangan ke atas loji nuklear mereka, dalam operasi yang dinamakan Operation Sphynx 1981.

Operasi itu membuka mata dunia bahawa Iraq pada masa itu ingin menyaingi Israel dalam industri nuklear, dan rata-rata warga Arab mula mengangkat presiden Iraq waktu itu, Saddam Hussein sebagai pengimbang kepada kekuatan ketenteraan Israel.

Namun, serangan itu meranapkan sebahagian besar projek nuklear Iraq, dan melalui serangan sabotaj Israel, maka akhirnya program nuklear Iraq tergendala.

Menyedari ancaman oleh negara Iraq, maka Israel melalui sayapnya yang digelar neoconservative akhirnya berjaya menjerat AS supaya memusnahkan Iraq pada tahun 2003 dalam operasi yang digelar Operation Iraqi Freedom 2003.

Neoconservative merupakan sebuah gerakan politik yang ditubuhkan pada tahun 1960an.

Golongan ini mempercayai bahawa kehebatan AS diukur oleh kesanggupannya untuk menjadi kuasa dunia menerusi penglibatan ketenteraan mereka dalam menangani isu global.

Dalam operasi itu, AS menggunakan dalil (pretext) bahawa Iraq dan Saddam Hussein terpaksa diruntuhkan demi mengembalikan “demokrasi” kepada rakyatnya.

ARAB SAUDI
Arab Saudi merupakan “pemain utama” di pentas Asia Barat, dan kenyataan ini dibuktikan melalui peristiwa penting yang berlaku di sana pada tahun 1974. Pada tahun itu, satu perjanjian bernama Perjanjian Petrodollar dimeterai di antara AS dengan Arab Saudi.

Dalam perjanjian itu, Saudi bersetuju menjual minyak mereka hanya kepada AS, dan sebagai balasan AS akan membantu Saudi dari aspek ekonomi dan ketenteraan. Perjanjian itu merupakan permulaan kepada era petrodollar sekaligus menamatkan embargo minyak daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ke atas Israel dan AS, dan menempatkan Arab Saudi – yang dinaungi AS – sebagai pemain utama di pentas Asia Barat.

Presiden AS Richard Nixon bersama Raja Arab Saudi, Raja Faisal semasa Perjanjian Petrodollar 1974
Maka sejak dari perjanjian petrodollar itu, hubungan diplomatik Arab Saudi dengan beberapa negara jirannya menjadi dingin.

IRAN
Iran merupakan satu lagi negara di Asia Barat yang merupakan “pemain utama”, bahkan Israel dan Arab Saudi menganggap mereka sebagai musuh nombor satu, dan pemimpin mereka disamakan sebagai “Hitler“.

Keadaan ini berbeza sewaktu Iran diperintah oleh sistem beraja. Di bawah pengaruh Raja Mohammad Reza Shah Pahlavi, Iran menjalinkan hubungan baik dengan AS dan Israel, sehinggalah revolusi pada tahun 1979 menumbangkan beliau dan menggantikan Iran menjadi negara republik.

Revolusi 1979 yang menggulingkan Shah Reza dari kerusi monarki dan membentuk Iran sebagai sebuah negara republik Islam
Sekalipun sering dilabel sebagai “terrorist state“, Iran pasca revolusi pada hakikatnya merupakan satu-satunya negara di Asia Barat yang paling lantang mempertahankan nasib Palestin, bahkan para pemimpin mereka menjadikan isu Palestin dan Baitulmaqdis sebagai polisi utama kerajaan Iran, dan ini boleh dilihat melalui ucapan-ucapan rasmi mereka.

Iran juga menjalinkan hubungan yang baik dengan Rusia, dan ini sekaligus menyeimbangkan pengaruh AS di Asia Barat yang menjadikan Israel sebagai sekutu paling rapat mereka.

– FF/TD