Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mengeluarkan sebarang arahan atau membuat ketetapan untuk menghalang mana-mana pendakwah memberi ceramah di televisyen dan radio.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, senarai 10 pendakwah terkemuka tanah air yang tular hari ini kononnya mereka tidak digalakan berceramah itu bukan dikeluarkan oleh kementeriannya.

Malah katanya, cubaan untuk menyekat mana-mana pendakwah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan baginya, senarai itu mungkin dilakukan oleh pihak tertentu untuk mencemarkan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Itu tidak betul. Perkara itu tidak pernah dibincangkan. Kerajaan PH mengamalkan sikap terbuka, asalkan yang penting nilai berita itu betul dan tidak menyalahi undang-undang.

“Kalau selalu bertentangan dan mengancam ketenteraman, barulah kita mungkin bertindak. Tetapi setakat ini secara rasmi tidak ada dan kita tidak membuat ketetapan siapa penceramah yang disekat dan dihalang daripada berceramah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tular senarai 10 penceramah popular tempatan kononnya mereka tidak lagi digalakan untuk ke udara sama ada melalui televisyen dan radio mulai Januari 2019.

Antara penceramah itu ialah Datuk Mohd. Kazim Elias (ustaz Kazim), Syamsul Amri Ismail (Syamsul Debat), ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, ustaz Abdullah Khairi, ustazah Norhafizah Musa, ustaz Azhar Idrus dan Zamihan Mat Zin.

Dua lagi ialah bekas peserta rancangan Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau PU Amin dan Syed Mohd. Bakri Syed Ishak yang dikenali sebagai PU Syed – Utusan Online