Kerajaan sedia mempertimbangkan tawaran syarikat helikopter dari Russia bagi menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah berusia lebih 50 tahun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan ada menerima beberapa tawaran daripada syarikat pengeluar helikopter dari Eropah dan Amerika Syarikat, namun tawaran syarikat Russia dianggap antara paling menarik.

“Kita dahulu dah beli helikopter Russia untuk kegunaan bomba dan (agensi) lain-lain.

“Kalau kita dapati (helikopter Russia) sesuai dengan keperluan Malaysia, maka kita akan beli,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini, hari ini.

Helikopter Nuri dari jenis Sikorsky S61 A-4 mula digunakan TUDM pada 1967 dan terbabit dalam banyak banyak operasi ketenteraan bermula dari era insurgensi sehingga ke hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak terikat dengan mana-mana negara pengeluar dalam urusan pembelian aset ketenteraan dan boleh memilih mana-mana syarikat berkelayakan.

“Kita terima tawaran dari beberapa buah negara dengan Russia memberikan tawaran yang jelas.

“Kita tidak terikat dengan mana-mana negara, tetapi kita pilih yang terbaik bagi negara,” katanya.

Untuk rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika ini menggunakan pesawat keluaran Russia jenis Mil Mi-17 yang diguna bagi operasi memadam kebakaran hutan. – BH Online