PUTRAJAYA 26 Jan. – Mahkamah Rayuan sebentar tadi menangguhkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengeluarkan perintah injunksi sementara menghalang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

Hakim Abang Iskandar memaklumkan bahawa kuorum berkenaan akan mengumumkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak kerana mereka memerlukan masa bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuan.

Perdana Menteri diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Gobind Singh Deo berhujah mewakili Tony Pua.

Wakil rakyat pembangkang itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos tahun lalu yang mengeluarkan perintah injunksi sementara sebelah pihak yang menghalang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnah Najib.

Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib atas alasan terdapat isu serius yang perlu dipelihara sehingga perbicaraan kes saman selesai dan injunksi itu perlu dikekalkan agar isu dapat dibicarakan tanpa mengganggu kedudukan plaintif.

Perdana Menteri memfailkan permohonan injunksi itu bagi menghalang Tony Pua yang didakwa memfinahnya menerusi kenyataan pada 6 April tahun lalu berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, yang juga dimuat naik dalam Facebook rasminya, ‘Tony Pua’.

Najib memohon perintah injunksi sebelah pihak berasaskan kebimbangan peribadinya dan betapa seriusnya kenyataan memfitnah itu yang boleh menjejaskan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan serta pemimpin sebuah parti politik.

Pada 21 April tahun lalu, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Tony Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan dalam “live video” berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355. – UTUSAN ONLINE