Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, saranan itu sebagai ke­nyataan tidak berakhlak dalam konteks Islam.

“Apa masalah sekolah tahfiz? Pelajar sekolah itu tidak pernah buat masalah pada negara, sama ada melahirkan ‘pengganas’ ataupun timbul isu kononnya sistem pendidikan mereka tidak selari dengan sistem pendidikan negara.

“Bahkan, (sekolah tahfiz) melahirkan ramai profesional seperti jurutera dan peguam, jadi saya fikir kenapa bebanan perlu dile­takkan kepada sekolah berkenaan? Pas bersungguh mempertahankan institusi itu kerana merupakan tempat yang berjaya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan tazkirah sempena Kuliah Bulanan Wanita di Balai Islam Lundang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ke­luarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi dan selebriti dakwah, Yatt Hamzah.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebaliknya Zainuddin lebih baik membincangkan tentang masalah sosial yang melanda remaja di negara ini.

“Apa masalah yang melanda di negara kita sejak dahulu lagi? Isu dadah, mat rempit dan kebejatan masalah moral semuanya adalah berpunca akibat tiada didikan agama.

“Golongan yang terjebak de­ngan kancah masalah itulah yang perlu dibina asas jati diri bermula dari peringkat awal akibat al-Quran tidak disemai dalam sanu­bari mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan meletakkan calonnya di kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor sekiranya UMNO tidak menyertainya.

“Kita akan letak calon (Pas) kalau ada keperluan, tidak akan ada menang percuma begitu sahaja. Kita juga akan lihat sekiranya UMNO meletakkan calon atau tidak, tidak perlu rujuk mereka pun, cukup kita lihat sahaja dahulu.

“Ini kerana, semasa keputusan (Pilihan Raya Umum Ke-14) lalu, UMNO lebih banyak (mendapat undi) daripada kita,” ujarnya.

sumber – Utusan