PENOLAKAN Arab Saudi terhadap permintaan Turki untuk mengekstradisi sebanyak 18 suspek yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi mencetuskan pelbagai teori barangkali kerajaan Arab Saudi cuba berkomplot dengan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman untuk menyembunyikan sesuatu.

Tindakan Arab Saudi yang terpaksa mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membuat pengakuan menguatkan lagi desas-desus serta pelbagai pesepsi negatif yang mengaitkan kerajaan itu dengan insiden pembunuhan berkenaan.

Sesungguhnya, jika tidak ada apa yang mahu diselindungkan, kenapa perlu Arab Saudi takut dengan permintaan Turki, lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku di Istanbul, Turki.

Pun begitu, mengikut amalan negara mengenai ekstradisi, apabila sebuah negara meminta sebuah negara lain menghantar atau menghantar balik seorang individu ke negaranya, negara berkenaan tidak ada kewa­jipan melayan permintaan itu ke­cuali wujud satu perjanjian ekstradisi di antara dua negara tersebut yang dikenali ‘double criminality rule’.

Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir pula mempunyai jawapan tersendiri kerana beranggapan kesemua suspek adalah merupakan rakyat Arab Saudi dan mendakwa kesemua mereka telah ditahan, disiasat dan akan dihukum di negara itu.

Kenyataan Adel itu dibuat sehari selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta proses ekstradisi 18 rakyat Arab Saudi untuk dibicarakan di Istanbul selepas mereka dipercayai terlibat dalam pembunuhan Jamal di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul.

Gesaan Erdogan itu dibuat selepas pendakwa raya Arab Saudi memberitahu, berdasarkan bukti yang diserahkan oleh Turki, pembunuhan tersebut seolah-olah telah dirancang.

Oleh kerana gagal mendapat kerjasama dengan Arab Saudi, Turki kini dilapor sedang dalam perbincangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memulakan siasatan berhubung pembunuhan.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menya­takan bahawa, siasatan antarabangsa bagi menyelesaikan kes tersebut sudah bermula.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) pula sebelum ini percaya Putera Mahkota Arab Saudi itu telah mengarahkan pembunuhan Jamal di Istanbul.

Washington Post melaporkan bahawa penilaian CIA itu adalah berdasarkan panggilan telefon antara adik Putera Mohammed, Putera Khaled Salman yang juga duta Arab Saudi di AS dengan Jamal.

Namun penilaian agensi itu adalah bertentangan daripada rumusan yang dibuat pihak pendakwa raya Arab Saudi yang menyatakan bahawa Mohammed tidak terlibat dalam pembunuhan ber­kenaan.

Malah, dalam rakaman audio yang diedar kepada sekutu Turki dan Arab Saudi, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat turut mendedahkan bahawa Jamal mengadu tidak boleh bernafas dan diikuti bunyi mengerikan dipercayai tubuh Jamal dikerat menggunakan gergaji.

Rakaman mengejutkan itu me­nimbulkan kesangsian terhadap dakwaan Arab Saudi bahawa pembunuhan tersebut bukan dirancang.

Ketika pembunuhan dilakukan, juga dikatakan kedengaran suara si pembunuh berbual di telefon dipercayai untuk melaporkan kepada ‘orang atasan’ tentang keadaan Jamal.

Di mana kesudahan kes pembunuhan Jamal? Apakah benar mayat wartawan itu telah dilarutkan?.

Ramai mendakwa besar kemungkinan, pembunuhan Jamal itu tidak akan mendapat pe­ngadilan yang sewajarnya sekiranya pendakwaannya dibicarakan di negara tersebut ekoran campur tangan kuasa besar dunia.

Suka atau tidak, satu-satunya jalan penyelesaiannya untuk meyakinkan semua pihak adalah dengan mengekstradisikan ke­semua suspek sama ada ke Turki atau AS.

Dengan langkah itu, adalah diharapkan kematian Jamal akan mendapat pembelaan sewajarnya apatah lagi memelihara imej Arab Saudi dalam kala­ngan masyarakat antarabangsa.