Ken Shellito meninggal dunia

BEKAS jurulatih pasukan bola sepak Sabah, Ken Shellito, 78, meninggal dunia pada jam 7.13 pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan isterinya, Jeany Shellito, ketika dihubungi sebentar tadi.

Jeany berkata, mendiang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini untuk mendapatkan rawatan, namun dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Minintod, Inanam, semalam.

“Pagi tadi paramedik sahkan beliau sudah tiada (meninggal dunia) pada jam 7.13 pagi,” katanya sambil memaklumkan Shellito mengalami jangkitan pada paru-paru dan buah pinggang.

“Mayat mendiang kini masih di kediaman kami dan dijangka disemadikan pada Sabtu ini,” katanya.

Lagenda pasukan Chelsea dan England era 1960-an itu meninggalkan dua anak perempuan dan seorang balu.

Shellito atau nama sebenarnya Kenneth John Shellito berasal dari East Ham, London, mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan kesihatannya semakin merosot sejak Mei lalu sebelum dimasukkan ke hospital untuk rawatan pada 15 Oktober lalu.

Beliau yang mendapat taraf penduduk tetap di negara ini pernah menjadi pengurus Chelsea dan Cambridge United (New Zealand) sebelum berhijrah ke negara ini untuk melatih pasukan Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Mendiang turut menubuhkan Akademi Bola Sepak Ken Shellito yang melatih bakat baru dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Penampang.

– Sinar Harian