Kementerian Penerangan Saudi lancar slogan musim haji 2018

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Arab Saudi melancarkan slogan “The World in the Heart of the Kingdom” (Dunia Di Hati Kerajaan) bersempena musim haji tahun ini.

Jurucakap dan Ketua Pengarah Pusat Komunikasi Kerajaan, Dr Abdullah Ahmed Al-Mughlout berkata pelancaran identiti dan slogan baharu itu adalah sebahagian daripada pelan strategik media secara menyeluruh kementerian berkenaan bagi menghadapi keadaan musim haji kali ini.

“Kementerian ini akan menonjolkan pencapaian tamadun di dua masjid suci serta penyediaan perkhidmatan Rahman secara menyeluruh dan tersendiri bagi memenuhi tanggungjawab besar yang dipikul terhadap umat Islam dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau berkata identiti baharu itu adalah antara inisiatif disediakan Kementerian Penerangan dalam kerangka pelan Haji, yang diilhamkan daripada kebesaran erti masa serta kesucian tempat berkenaan, yang terserlah daripada kunjungan ke Rumah Allah.

Dr Abdullah berkata reka bentuk logo itu dicipta sekumpulan anak muda Saudi yang kreatif bagi mencerminkan beberapa makna, sambil mempamerkan pelaksanaan amalan mulia yang dituntut, di samping mercu tanda dan matlamat suci ibadah haji.

Menurut beliau, matlamat kementerian itu adalah untuk menyokong peranan agensi kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha kementerian itu bagi mencapai objektif Wawasan 2030 Kerajaan Arab Saudi, mewujudkan penyelarasan dan integrasi antara agensi kerajaan dan mengukuhkan mesej yang disebarkan media agar seiring dengan proses transformasi negara.

Identiti baharu haji itu akan digunakan melalui platform digital dan laman sesawang, akhbar dan media serta disebar melalui mesej media, video, penerbitan dan laman sesawang tertentu bagi memperkenalkan insiaitif berkenaan serta aktivitinya.

Reka bentuk ringkas logo berkenaan mengandungi lapan makna tersembunyi yang mencerminkan beberapa tatacara pelaksanaan ibadah haji.

Ia mengandungi imej Kaabah, garisan separa bulatan di keliling bentuk empat persegi struktur itu serta perkataan “Haji” yang terdapat pada garisan berkenaan.

Logo itu juga mengandungi arah qiblat, Jam Besar Makkah serta menunjukkan kedudukan Makkah di tengah-tengah dunia.

Bahagian atas logo berkenaan, yang kelihatan seperti isyarat penerimaan rangkaian komunikasi dan pokok palma, yang merupakan antara ikon negara ini serta mencerminkan perkhidmatan perubatan dan budaya negara Arab Saudi, dipamer pada garisan lengkung pada logo itu. 

– Astro Awani