Seorang kanak-kanak pe­rempuan yang kebuluran di Yemen sehingga menampakkan anggota badannya ‘hanya tinggal tulang’ dan menarik perhatian masyarakat global minggu lalu, meninggal dunia semalam.

Mail Online melaporkan, Amal Hussain yang menjadi simbol dalam perang proksi antara Arab Saudi dan Iran meninggal dunia ketika berusia tujuh tahun di sebuah kem pelarian.

“Hati saya hancur, Amal se­ring tersenyum dan kini saya bimbang akan nasib anak saya yang lain,” kata ibu kanak-kanak itu, Mariam Ali.

Menurut New York Times yang pertama kali memaparkan kisah Amal, budak perempuan itu meninggal dunia di kem pela­rian kira-kira 6.4 kilometer dari sebuah hospital Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), tempat dia diberikan rawatan.

Semasa dirawat di kemudahan itu, Amal muntah dan menderi­ta akibat cirit-birit ketika doktor memberikan susu setiap dua jam.

Dia mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, tiga tahun selepas keluarganya melarikan diri dari rumah mereka bagi mengelak daripada serangan udara tentera perikatan diketuai Arab Saudi.

Mariam juga dilaporkan sakit dan menghidap demam denggi yang disebarkan oleh nyamuk di dalam air bertakung.

“Keluarga kami tidak mempunyai cukup wang untuk membawa Amal ke Hospital Doctor Without Borders yang terletak kira-kira 24 kilometer,” katanya.

Menurut UNICEF, perang Yemen membuatkan kanak-kanak di negara ini menderita dengan lebih tujuh juta daripadanya menghadapi masalah kekurangan makanan.

Kira-kira 1.8 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun menghadapi masalah kekurangan zat makanan yang teruk manakala 400,000 menderita akibat kekurangan makanan. – Utusan Online