Kebangkitan Islam didukung institusi negara

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Perlembagaan: Menjamin Keutuhan Ummah” yang mengingatkan umat Islam bahawa kebangkitan Islam berlaku dengan dukungan dan naungan daripada institusi negara.

“Ini bermakna komitmen yang telah dizahirkan oleh negara dan kerajaan dengan menjadikan Sultan dan Raja negeri-negeri Melayu sebagai pelindung agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan adalah sangat relevan dengan manhaj Islam Malaysia itu sendiri,” kata teks khutbah.

Justeru, menurut mimbar bagi memastikan setiap agenda dan dasar pembangunan Islam dilaksanakan lima aspek di perlukan.

Lima aspek tersebut adalah berhikmah, tadarruj (berperingkat), holistik, berperadaban dan mementingkan isi kandungan pelaksanaan berbanding retorik dan slogan.

Menurut mimbar perjuangan menegakkan kebenaran dan kedaulatan agama Islam di negara ini berdepan cabaran getir serta ujian atau liku-likunya yang tersendiri.

Oleh itu kata mimbar, kewujudan institusi Islam memainkan peranan yang besar.

“Selaras dengan transformasi tadbir urus negara yang kian berkembang, institusi-institusi Islam telah dinaik taraf selari dengan arus pembangunan negara.

“Fungsinya diperluas dan diperkasa meliputi aspek penyeragaman undang-undang dan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam, hukum syarak, pendidikan Islam seluruh negara, serta memastikan dasar dan perancangan pembangunan negara berkaitan agama berjalan dengan lancar,” kata mimbar.

Menurutnya, penubuhan institusi-institusi Islam sama ada di negeri atau di persekutuan adalah menepati perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

Oleh demikian kata mimbar, dalam hubungan ini, amatlah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk melemparkan tohmahan liar dan menafikan kaitan institusi-institusi Islam sebagai tidak berperlembagaan selain mencabuli ketinggian dan kehormatan Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan negara.