Dua kapal perang milik tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berlayar berhampiran kepulauan yang dituntut China di Laut China Selatan pada Isnin (11 Feb).

Ia dijangka bakal menimbulkan kemarahan Beijing di tengah-tengah ketegangan hubungan dua negara kuasa ekonomi dunia itu.

Beijing dan Washington kini terperangkap dalam perang perdagangan dengan kedua-dua negara sedang memuktamadkan perjanjian menjelang pelaksanaan tarif ke atas import barangan dari China bernilai AS$200 bilion.

Tarif dijangka dinaikkan dari kadar 10 peratus kepada 25 peratus menjelang 1 Mac nanti.
Ketegangan yang memuncak di antara AS dan China telah pun menyebabkan kerugian berbilion dollar kepada kedua-dua negara dan turut menggoncang pasaran kewangan dunia.

Bercakap kepada Reuters, seorang pegawai kerajaan AS yang enggan mendedahkan namanya berkata dua kapal perang yang dilengkapi dengan peluru berpandu terbabit telah berlayar sekitar 12 batu nautika berhampiran gugusan batu karang Mischief Reef di kawasan yang dipertikaikan iaitu Kepulauan Spratly.

Operasi itu dilihat sebagai sebahagian usaha terbaharu Washington yang melihat Beijing sedang berusaha untuk menyekat laluan bebas di kawasan perairan strategik itu yang turut digunakan negara Jepun dan negara-negara Asia Tenggara.

China mendakwa hampir kesemua kawasan itu adalah milik negara itu dan sering mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang aktiviti yang dilakukan oleh AS dan negara-negara sekutunya di kawasan itu.

AS dan negara-negara sekutunya pula sering mengecam tindak tanduk Beijing yang cuba menjadikan kawasan itu sebagai milik tentera dengan permbinaan kemudahan tentera di atas pulau-pulau buatan dan batu karang di sekitar perairan itu.

Selain Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia dan Taiwan turut menuntut hak ke atas kepulauan itu. – Astro Awani