Seorang kosmonaut Rusia dan angkasawan Amerika Syarikat (AS) terselamat selepas kapal angkasa Rusia, Soyuz MS-10 yang dijadual membuat perjalanan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) gagal berlepas dan menyebabkan pendaratan cemas, semalam.

Agensi Penerbangan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) memaklumkan dua orang kru terdiri daripada kosmonaut Alexei Ovchinin dan rakyat AS, Nick Hague, mendarat di sebuah padang rumput kira-kira 400 kilometer dari tapak pelancaran kosmodrom Baikanour selepas kapal angkasa berkenaan mengalami kegagalan beberapa minit sejurus berlepas.

Kedua-dua mereka yang sepatutnya menjalani misi selama enam bulan di ISS dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan berhampiran bandar Dzhezkazgan.

Menurut NASA, terdapat masalah dengan roket berkenaan antara tahap pertama dan kedua ketika peringkat pemisahan, dan kapsul yang membawa Ovchinin dan Hague terpisah dari roket sebelum menjunam jatuh.

Kapsul yang dilengkapi payung terjun itu kemudian mengalami apa yang digelar NASA, penurunan cerun balistik dan mengambil masa 34 minit untuk mendarat.

– Astro Awani