Pihak keselamatan Israel telah menahan 511 rakyat Palestin termasuk 74 kanak-kanak sepanjang bulan lalu, kata tiga kumpulan sokongan banduan Palestin kelmarin.

Persatuan Tahanan Palestin (PPS), Addameer dan Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan Palestin dalam satu kenyataan bersama berkata, 100 rakyat Palestin dari Tulkarem antara yang ditahan di penjara Israel.

Sementara bakinya terdiri daripada penduduk dari Baitulmaqdis Timur (91 orang), Hebron (75), Ramallah (61), Nablus (45), Jenin (61), Qalqiliya (28), Baitulaham (26) Genting Gaza (12), masing-masing 10 orang dari Tubas dan Jericho serta sembilan orang dari Salfat.

Ia menambah bahawa pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan 73 perintah tahanan pentadbiran pada bulan Oktober, sekali gus menjadikan jumlah penduduk Palestin yang ditahan di bawah penahanan pentadbiran meningkat kepada 430 orang.

“Sehingga kini sekitar 6,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel, termasuk 52 wanita dan 270 kanak-kanak, 50 daripadanya berusia di bawah 16 tahun,” menurut kenyataan itu. – Middle East Monitor