GAZA: Ratusan penduduk Gaza menghadiri pengebumian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut, selepas terkena serpihan besi tembakan tentera Israel di pagar sempadan, minggu lalu, menurut pegawai perubatan Palestin.

Jasad Ahmed Abu Abed dibalut dengan bendera Palestin, beliau dibawa atas bahu pengunjung yang hadir dengan orang ramai menaburkan bunga dalam perarakan di Khan Younis, selatan Gaza.

Rakaman Reuters dalam tunjuk perasaan Jumaat lalu menunjukkan kanak-kanak lelaki itu dibawa anggota perubatan ke hospital lapangan tidak jauh dari sempadan, selepas mangsa cedera.

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, beliau terkena serpihan logam tembakan Israel.

“Ada satu serpihan peluru dalam mata mangsa di bahagian bawah otak, ia yang paling serius mungkin menjadi punca kematian beliau,” kata pengarah jabatan kecemasan hospital Khan Younis, Mohammad Abu Hilal. – Reuters