Kerajaan Kanada mengumumkan peruntukan sehingga AS$50 juta (RM207 juta) untuk Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dua bulan selepas Amerika Syarikat (AS) memotong bantuan kepada badan antarabangsa tersebut.

Menurut Menteri Pembangunan Antarabangsa, Marie-Claude Bibeau, dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan pendidikan asas, kesihatan, dan keperluan hidup jutaan pelarian Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Pembiayaan baharu itu akan menyumbang kepada peningkatan kehidupan dan dan melindungi maruah golongan tersebut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dana tersebut juga akan dibelanjakan untuk kursus latihan guru dan menyokong lebih 100 klinik kesihatan.

Keputusan Presiden Donald Trump menyekat dana UNRWA mencetuskan kritikan banyak pihak malah jurucakap agensi itu, Chris Gunness menyifatkan ia sebagai ‘amat dikesali’ dan ‘mengejutkan’.

Tahun lalu, Washington telah menyalurkan lebih AS$360 juta (RM1.5 bilion) kepada UNRWA. – Press TV