Anak kepada wartawan terkenal yang dibunuh kejam, Jamal Khashoggi meminta Arab Saudi memulangkan mayat bapa mereka.

Permintaan itu dibuat ketika wawancara penuh emosi bersama CNN, semalam di mana mereka berkongsi cerita tentang kolumnis The Washington Post itu.

“Apa yang kami mahu adalah mengebumikan beliau di kawasan perkuburan al-Baqi di Madinah bersama ahli keluarga lain. Saya ada bercakap tentang perkara itu dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan saya berharap ia akan ditunaikan tidak lama lagi.

“Ia adalah isu asas kemanusiaan. Kami hanya mahu memastikan beliau dikebumikan dengan sempurna,” kata Salah Khashoggi, 35 yang turut ditemani adiknya, Abdullah, 33.

Menurut Abdullah, bapa mereka adalah seorang individu yang sederhana dan disukai ramai orang.

“Saya lihat banyak pihak cuba menuntut legasi bapa kami, malangnya mereka menggunakan cara politik dan kami sememangnya tidak bersetuju dengan kaedah seperti itu. Pendapat awam adalah penting, namun saya bimbang ia terlalu dipolitikkan. Analisis dibuat banyak pihak mungkin boleh tersasar daripada kebenaran,” ujarnya.

Kedua-dua anak Khashoggi turut mengulangi kenyataan bapa mereka bahawa wartawan itu tidak suka digelar ‘penentang’ walaupun beliau adalah pengkritik lantang Putera Mahkota, Mohammed Salman.

“Bapa kami bukan penentang. Beliau percaya sistem beraja yang menyatukan rakyat dan beliau juga yakin dengan transformasi yang sedang dilakukan di Saudi,” jelas Salah.

Menurutnya, media telah dijadikan sumber untuk mendapatkan perkembangan tentang pembunuhan bapa mereka selepas beliau memasuki Konsulat Riyadh di Istanbul untuk menguruskan dokumen perkahwinannya pada 2 Oktober lalu.

Minggu lalu, Turki mendedahkan mayatnya telah dilupuskan dengan asid selepas tubuhnya dikerat-kerat. – CNN