Dua lelaki Rusia yang dinamakan sebagai suspek meracun bekas perisik Moscow, Sergei Skripal dengan agen saraf, Novichok mendakwa mereka hanya pelancong dan bukan perisik tentera Rusia, GRU seperti didakwa Britain.

Pengakuan itu dibuat Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov ketika diwawancara saluran RT, semalam.

Menurut kedua-dua lelaki tersebut, perjalanan ke Salisbury itu dibuat atas cadangan rakan mereka.

Petrov dan Boshirov turut mengesahkan identiti mereka seperti didedahkan penyiasat Britain.

“Ia adalah nama sebenar kami,” ujar kedua-duanya yang kelihatan tidak selesa dan gementar ketika ditemu bual ketua editor, Margarita Simonyan yang mengesahkan nama dan gambar Petrov serta Boshirov sepadan dengan maklumat diberikan pihak berkuasa London.

Kedua-dua lelaki yang bekerja dalam bidang nutrisi sukan itu mendakwa mereka ke London untuk percutian singkat termasuk menghabiskan masa di Salisbury di mana Sergei dan anak perempuannya, Yulia ditemui tidak sedarkan diri selepas diracun pada 4 Mac lalu.

“Kami hanya berada selama sejam di Salisbury pada 3 Mac lalu kerana cuaca bersalji pada waktu tersebut. Kami ada melalui di sekitar rumah Skripal, namun tidak tahu lokasi sebenarnya,” ujar Petrov yang turut menafikan mereka membawa Novichok atau mengubah suai botol minyak wangi Nina Ricci yang didakwa mengandungi bahan tersebut.

Susulan wawancara itu, Perdana Menteri Britain, Theresa May menyifatkan ia sebagai satu pembohongan yang menghina risikan awam.

Rabu lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin juga percaya mereka tiada kaitan dengan jenayah.

– SH/RT/BBC