Tinjauan Pusat Kajian Dasar dan Penyelidikan Palestin yang berpusat di Ramallah mendapati 80 peratus mempercayai bahawa negara-negara Arab telah mengabaikan perjuangan rakyat Palestin.

Hasil dapatan juga menunjukkan 80 peratus responden menyokong gesaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) memboikot sidang kemuncak ‘Peace to Prosperity’ minggu lalu, yang membincangkan aspek ekonomi, yang kononnya dikatakan sebagai ‘Perjanjian Terhebat Abad Ini’.

Peratusan yang sama diperolehi apabila mereka melihat penyertaan negara-negara Arab dalam persidangan itu sebagai pengabaian terhadap Palestin dan perjuangan mereka.

Walaupun PA telah menyuarakan gesaan untuk memboikot, wakil dari Bahrain, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Mesir tetap menghadiri sidang kemuncak itu.

Hanya Lubnan dan Kuwait yang menyahut gesaan PA untuk memboikot sidang berkenaan.

Sementara itu, 90 peratus berkata mereka tidak mempercayai pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menerajui perjanjian itu. Sekitar 75 peratus pula rakyat Palestin mahu PA menolak perjanjian itu, lapor Jerusalem Post.

Persidangan yang berlangsung di Manama pada 25 dan 26 Jun lalu mencadangkan dana perlaburan sebanyak AS$50 Bilion yang akan dibahagikan antara rakyat Palestin di wilayah yang diduduki serta negara jirannya iaitu Mesir, Lubnan dan Jordan.

Berdasarkan tinjauan, apabila diminta memilih antara kemakmuran ekonomi dan negara Palestin yang merdeka, 83 peratus memilih untuk merdeka manakala hanya 15 peratus sahaja memilih kemakmuran ekonomi. – Agensi/IW