Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa pentadbiran sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan kononnya China telah menawarkan bantuan untuk menyelamatkan (bail out) dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dakwaan yang bersifat melampau itu perlu disiasat secara menyeluruh.

“Sebagai bekas ahli Kabinet, saya boleh menyatakan secara jelas bahawa Kabinet tidak pernah dimaklumkan mengenai perjanjian China dikaitkan dengan usaha menyelamatkan 1MDB.

“Sekiranya terdapat bukti perkara itu berlaku, ia adalah tanpa kelulusan Kabinet,” katanya menerusi laman Twitter milik beliau, hari ini.

Hari ini, Wall Street Journal (WSJ) dalam artikel bertajuk ‘China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in Return for Deals’ melaporkan beberapa pemimpin kanan China telah menawarkan bantuan untuk menyelamatkan dana pelaburan 1MDB pada tahun 2016, berdasarkan beberapa minit mesyuarat yang dikajinya. – Utusan Online