Jordan, Palestin tolak rancangan damai Timur Tengah

Jordan dan Palestin menolak rancangan damai baru Amerika Syarikat (AS) bagi Timur Tengah.

Keputusan itu dibuat semasa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melawat Jordan dan berunding dengan Raja Abdullah.

Mereka sudah pun menolaknya meskipun rancangan damai AS itu masih dalam proses disiapkan.

Belum diketahui bila saranan damai tersebut akan dibentangkan.

Bulan lalu seorang pegawai Rumah Putih berkata saranan damai yang amat terperinci itu, antara lain, mengandungi pelan ekonomi yang kukuh.

Namun ia dijangka jauh berbeza daripada Inisiatif Damai Arab yang diusahakan Arab Saudi pada 2002.

Di bawah Inisiatif Damai itu, negara-negara Arab menawarkan untuk menjalin hubungan dengan Israel.

Ia sebagai balasan bagi kewujudan semula negara Palestin dan pengunduran lengkap Israel dari wilayah-wilayah yang ditaklukinya dalam perang tahun 1967. 

– Sinar Harian