Jemaah haji Malaysia selamat sampai di khemah

ARAFAH-ARAB SAUDI: Jemaah Malaysia telah selamat sampai di khemah-khemah muasassah yang menempatkan seluruh jemaah haji dari Malaysia.

Salah seorang jemaah haji Malaysia, Ghazali Zainal Abidin berkata,walaupun ribut dan angin kencang melanda Makkah dan Arafah namun perjalanan semua jemaah mengikut jadual.

Katanya, pergerakan jemaah-jemaah haji Malaysia telah bermula sejak pagi semalam (19hb Ogos) sehingga tengah malam tadi.

“Semuanya telah selamat memasuki khemah-khemah yang telah disediakan. Hanya tinggal lagi kurang dari enam jam lagi, para jemaah haji akan melalui Hari Arafah atau Wukuf.

“Setelah wukuf selesai (masuk waktu Maghrib), pergerakan jemaah haji Malaysia seterusnya akan dibawa melalui bas ke Muzdalifah dan kemudian terus ke Mina,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan hujan lebat dan angin kencang melanda Arafah, petang Ahad.

Cuaca buruk turut disertai ribut petir itu berlaku menjelang hari Wukuf pada Isnin.

AA