KUALA LUMPUR: Penyerang berpengalaman Safee Sali berharap status pemain kacukan bukan tiket automatik untuk seseorang pemain itu menyarung jersi kebangsaan.

Dia berkata, pemilihan pemain seharusnya dinilai daripada prestasi dan bukan kerana pemain itu berdarah campuran semata-mata.

“Pemain bola sepak bukan ikut darah campuran atau tidak, tapi kemampuan pemain itu membentuk kombinasi yang baik dalam pasukan lebih utama.

“Jika pemain kacukan itu mampu memberikan perubahan kepada pasukan kebangsaan, itu bagus tapi kalau sekadar ingin mendapatkan hak kerakyatan dan tiada kesungguhan untuk mewakili negara pada saya ia hanya sia-sia. Lebih baik peluang itu diberikan kepada pemain tempatan, ada ramai lagi yang bagus,” katanya.

Lambakan pemain kacukan yang kini membanjiri Liga Malaysia dijangka akan mencetuskan angin perubahan baru dalam skuad kebangsaan.

Ketika ini terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai pertalian darah di negara ini diberikan hak kerakyatan dan boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe. Antaranya La-Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Curran Ferns dan Daniel Ting.

Ketika ini hanya Matthew Davies (14 kap), Darren Lok (9), Brendan Gan (8), Kiko Insa (6), Khair Jones (4) pernah mewakili skuad Harimau Malaya.

Menurut Safee yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu negara menjulang trofi Piala AFF 2010, kebanyakan pemain kacukan yang dimiliki negara ketika ini memiliki kemampuan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.

“Pada saya, hanya dua-tiga pemain kacukan yang dilihat memiliki kualiti lebih baik berbanding pemain tempatan dan yang lain saya fikir lebih kurang sama saja.

“Kita tak boleh terlalu taasub dengan pemain kacukan, jika mereka benar bagus, tiada masalah untuk menyertai skuad kebangsaan. Kita boleh lihat, Indonesia, Singapura yang memiliki pemain naturalisasi tapi belum lagi boleh pergi jauh. Sedangkan Thailand yang lebih ramai pemain tempatan nampak lebih bagus,” kata Kapten PKNS FC itu.

sumber – BHOnline