Warga Malaysia terutamanya yang diamanahkan sebagai pemimpin tidak menjadi dalang mahupun melakukan provokasi sehingga boleh menyalakan api kebencian serta mencetus permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amatlah mendukacitakan apabila suasana harmoni yang begitu berharga dan telah sekian lama menjadi amalan budaya hidup majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan semata-mata di­sebabkan persaingan politik.

Baginda bertitah, perkara itu berpunca sikap sebahagian pemimpin politik memilih bersifat riak dengan kemenangan dan kalah pula berdendam walhal pihak menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima ketentuan Ilahi secara terhormat.

“Ada negara menghadapi konflik sehingga hancur musnah kerana perselisihan berpunca daripada perbezaan mazhab, ada disebabkan berlainan agama, ada berkonflik kerana kelainan kaum, ada berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah dan ada berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.

“Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik. Namun, para pemimpin terdahulu memilih untuk tidak berkonflik, malahan yang mengasaskan negara merdeka ini menerokai titik persamaan serta menyuburkan semangat bekerjasama,” titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 USAS di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, pe­ngalaman pahit beberapa nega­ra tertentu yang telah mencapai kemerdekaan sama seperti Persekutuan Tanah Melayu akibat daripada konflik agama, kaum dan kumpulan politik wajib dijadikan teladan.

Sementara itu, baginda menasihatkan para graduan menggunakan pengetahuan menjadi warga berilmu yang berfikiran rasional serta tidak mudah diperalat bagi memenuhi nafsu orang-orang berfikiran cetek dan tidak berwawasan jauh.

Sultan Nazrin bertitah, ge­nerasi ibu bapa terdahulu biarpun tidak ramai berpendidikan tinggi namun menghargai nilai-nilai harmoni dan mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Tidak wujud perasaan kebencian ‘bersuhu tinggi,’ rasa curiga ekstrem sehingga merasakan nyawa terancam, mahupun anggapan permusuhan yang keterlaluan ke tahap mahu berbunuh-bunuhan,” titah ba­ginda.

– Utusan Online