PETALING JAYA: Seorang profesor linguistik dan antropologi menolak pendapat sesetengah kalangan bahawa bahasa Melayu secara intrisiknya lebih rendah daripada bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan ilmu.

Dr Teo Kok Seong, felo penyelidik utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, bahasa kebangsaan itu, terutama jelmaan modennya, adalah sama berguna seperti bahasa utama dunia lain sebagai alat komunikasi dalam pelbagai bidang kegiatan manusia.

Upayanya tidak kurang dalam penyampaian pengetahuan pelbagai cabang keilmuan, termasuk sains, tambah beliau.

Beliau berkata pembangunan bahasa Melayu moden merupakan hasil usaha berterusan Dewan bahasa dan Pustaka sejak Merdeka.

Katanya, tidaklah dapat dielakkan sekiraya ramai rakyat Malaysia menuruti jejak dunia melihat bahasa Inggeris sebagai bahasa perniagaan sejagat, dan diikuti bahasa Mandarin. Beliau berkata, bahasa Mandarin kini dipandang tinggi berikutan kebangkitan China sebagai sebuah kuasa ekonomi.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia cenderung melihat bahasa Inggeris sebagai bahasa lebih bergaya kerana mereka yang dianggap termasuk dalam kelompok elit masyarakat suka menggunakan bahasa itu

Teo menjangka bahasa Inggeris dan Mandarin akan terus digunakan secara meluas dalam sektor swasta negara ini, namun bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai sebuah bahasa.

Beliau menggesa perhatian seimbang diberikan ke arah penguasaan ketiga-tiga bahasa tersebut, dan berkata bahasa Melayu mesti dibenarkan memainkan peranan sebagai bahasa penyatuan rakyat Malaysia.

FMT