Tentera rejim pengganas Israel mengenakan sekatan menyeluruh ke atas laluan utama ke perkampungan Palestin di barat laut Ramallah.

Sejak 5 Disember lalu, kebanyakan laluan utama dari perkampungan Palestin di Ramallah ke bandar ditutup tanpa sebarang notis, sekali gus menyukarkan perjalanan dan urusan penduduk di kawasan itu.

Difahamkan, pagar di laluan berkenaan ditutup untuk tempoh lebih sebulan dan dijangka dibuka semula oleh rejim berkenaan pada 14 Januari, sebelum ditutup selama beberapa jam pada hari berikutnya.

Badan hak asasi manusia, B’Tselem berkata, penutupan jalan itu menjejaskan puluhan ribu penduduk yang tinggal di beberapa kampung di wilayah berkenaan.

“Ini termasuk ‘Ein ‘Arik, Deir Ibzi’, Kafr Ni’ma, Ras Karkar dan Al-Janiyah. Sekatan itu juga menjejaskan ribuan buruh Palestin yang mempunyai permit untuk bekerja di Israel, serta ratusan peniaga ke bandar setiap hari melalui pusat pemeriksaan Ni’lin,” katanya.

Katanya, tindakan rejim pengganas itu menyebabkan penduduk tempatan terpaksa menggunakan laluan alternatif yang menyebabkan perjalanan sukar dan perlahan.

“Menghadkan pergerakan rakyat Palestin di Tebing Barat adalah salah satu usaha utama Israel untuk menguatkuasakan pendudukan dan mengawal penduduk Palestin,” kata B’Tselem.- Agensi