Israel tembak jatuh jet pejuang Syria

TEL AVIV: Rejim Zionis telah menembak jatuh pesawat pejuang Syria dengan peluru berpandu permukaan ke udara, hari ini selepas ia didakwa mencabuli ruang udaranya dalam kejadian yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan di wilayah itu.

“Misil Patriot itu memintas jet pejuang Sukhoi yang memasuki ruang udara Israel pada jarak kira-kira 2 kilometer,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.

 

Difahamkan, ia adalah kejadian pertama pesawat pejuang Syria ditembak jatuh Israel sejak 2014.

Menurut tentera, terdapat peningkatan dalam pertempuran dalaman di Syria termasuk melibatkan serangan udara.

“Kami dalam keadaan berjaga-jaga dan akan terus menentang sebarang pelanggaran dalam perjanjian gencatan senjata 1974 dimeterai antara kedua-dua negara,” kata jurucakap tentera.  

Kejadian itu berlaku sehari selepas pertahanan udara Israel menembak roket milik Syria yang dikhuatiri menyasarkan wilayahnya.

 – Astro Awani