Israel masuk Malaysia, kenapa kerajaan bungkam?

Sejak beberapa hari lepas berbagai komen dan kritikan telah dibuat tentang tindakan Kerajaan Malaysia membenarkan beberapa pegawai Tinggi Kerajaan Israel memasuki Malaysia dengan senyap-senyap.

Sehingga hari ini tidak ada apa-apa kenyataan dari kerajaan tentang isu tersebut.

Sikap tidak menjawab isu yang penting dan sensitif kepada umat Islam yang mengambil berat isu Palestin adalah suatu sikap yang tidak bertanggungjawab oleh Datuk Seri Najib Razak.

Rakyat menuntut jawapan segera dalam isu ini.

Sikap lama berdiam diri kerajaan membayangkan seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan atau kerajaan tidak tahu bagaimana untuk menjawab isu ini.

Rakyat marah dan amat kecewa dengan kerajaan yang pernah mengajak rakyat berdemonstrasi mengutuk Israel untuk kepentingan mencari populariti dan saham politik.

Sekarang secara senyap-senyap kerajaan membenarkan pegawai tertinggi Israel memasuki Malaysia untuk seminggu dan apabila di soal bagaimana ini boleh berlaku, kerajaan Najib membisu.

Adakah Malaysia telah menukar sikapnya terhadap Israel? Rakyat ingin tahu!

Atau kerajaan Najib tidak ada polisi yang jelas isu antarabangsa?

Malaysia hari ini kelihatan menjadi “pak turut” negara kaya seperti Arab Saudi dan yang berkuasa seperti negara China. Malaysia sudah hilang kedaulatan dan harga diri.

Apabila Arab Saudi mempunyai hubungan sulit dengan Israel seperti didedahkan oleh menteri Israel, Malaysia pun turut hendak ikut.

Apabila Arab Saudi menyerang Yaman, Malaysia pun turut bersubahat dalam hal tersebut.

Apabila China minta kaum Uighur Islam yang di tindas di negara China diserahkan secara paksa pulang, Malaysia akur.

Mereka memang telah lama dizalimi di negara China dan pihak Bangsa-bangsa Bersatu telah lama melaporkan penderitaan mereka ini.

Apabila China menuntut kawasan perairan Laut China Selatan, berdekatan dengan Malaysia, kerajaan membisu.

Dalam masa yang sama, Malaysia menyerahkan kontrak berbilion bilion ringgit kepada syarikat China.

Najib mesti menjawab isu kemasukan pegawai tertinggi Israel ini ke Malaysia. Maruah orang Islam Malaysia tercabar hebat dalam isu ini.

Kerajaan Malaysia makin hari makin hilang kredibiliti. Jangan membisu. Berkatalah kamu walaupun ia mungkin pahit untuk kami semua mendengar.

sumber – MalaysiaKini

%d bloggers like this: