Israel mahu penjarakan individu kibar bendera Palestin

Wakil Parti Likud, Anat Barko mencadangkan satu Rang Undang-undang (RUU) baharu bagi menghukum mana-mana individu yang mengibarkan bendera Palestin di dalam Israel.

Barko dilaporkan membuat kenyataan itu selepas mendapati bendera Palestin dikibarkan ketika berlangsungnya demonstrasi menentang undang-undang rejim Israel di Tel Aviv.

Barko berkata, RUU itu akan dibawa kepada Knesset iaitu Parlimen bagi negara haram Israel ketika sesi musim sejuk yang akan bermula pada Oktober nanti.

RUU itu memperuntukkan hukuman setahun penjara kepada mereka yang mengibarkan bendera Palestin atau bendera ‘musuh’ di dalam Israel.

Pada masa sama, Barko mengesahkan bahawa rang undang-undang itu mendapat sokongan parti.

Beliau berkata, kerajaan juga telah berjanji untuk meluluskan draf undang-undang di Knesset selepas memenangi sokongan parti-parti gabungan.

Sementara itu, pasukan tentera Israel dilaporkan telah menahan isteri Ahli Parlimen Palestin, Ahmad Atoun, Nisreen Dawiyat.

Ahmad Atoun berkata, pasukan rejim itu menyerbu rumah keluarganya di Sur Baher, Baitulmaqdis dan menangkap isterinya.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan untuk penangkapan ibu kepada lima orang anak itu.

Ahmad Atoun sebelum ini terpaksa tinggal di Ramallah selepas pihak berkuasa Israel secara paksa mengusirnya dari wilayah Baitulmaqdis yang diduduki.

Beliau pernah ditangkap sebanyak lima kali oleh tentera Israel manakala anak-anaknya Mujahed dan Mohamed juga turut mengalami nasib yang sama beberapa kali.

IW