Israel memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada penduduk perkampungan Badwi di Tebing Barat untuk mengosongkan perkampungan itu sebelum ia dimusnahkan.

Notis tersebut memberi tempoh sehingga Isnin depan kepada 200 penduduk Khan al-Ahmar yang kebanyakkannya mencari rezeki dengan mencari barangan kitar semula serta menternak biri-biri untuk merobohkan sendiri rumah mereka, jika tidak pihak berkuasa akan melakukan proses meroboh.

Israel mendakwa perkampungan itu dibina tanpa permit dan bercadang memindahkan penduduk ke lokasi lain.

Namun, penduduk enggan mematuhi notis tersebut berikutan lokasi sekarang berdekatan pusat pembuangan sampah yang memudahkan mereka mengumpul barangan kitar semula, manakala lokasi baharu dikatakan berdekatan loji rawatan kumbahan.

“Tiada siapa akan berpindah, mereka perlu memaksa kami keluar,” kata jurucakap penduduk, Eid Abu Khamis.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Agung Israel menolak rayuan bagi menghalang kerja meroboh perkampungan Khan al-Ahmar yang terletak di lokasi strategik di timur Baitulmaqdis. – AFP

– Sinar Harian