Negara haram Israel membekukan hasil cukai milik Palestin bernilai hampir AS$138 juta (RM 564 juta), sebagai balas dendam dan dan berang dengan keputusan Pihak Berkuasa Palestin(PA).

Ia susulan PA memberikan dana kepada keluarga penduduk Palestin yang didakwa membunuh remaja perempuan Yahudi, dalam satu serangan minggu lalu.

Israel yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, menyifatkan bayaran PA kepada keluarga Palestin, hanya akan menggalakkan keganasan.

Bagaimanapun, PA melihat langkah berkenaan sebagai kebajikan untuk keluarga yang kehilangan pencari nafkah.

Untuk rekod, Israel mengutip duti kastam terhadap barangan untuk pasaran di Palestin yang melalui pelabuhan Israel.

Kemudiannya, Israel akan membayar kutipan terbabit kepada PA secara tetap seperti yang digariskan dalam perjanjian ekonomi 1994.

Tahun lalu, situasi sama berlaku apabila Parlimen Israel meluluskan undang-undang membeku sebahagian dana kepada Palestin.

Malah, Israel juga pernah menyekat dana sebagai tindak balas terhadap kemasukan Palestin sebagai anggota penuh UNESCO pada 2011.

PA yang mempunyai kuasa pentadbiran terhad di beberapa bahagian Tebing Barat, amat bergantung kepada dana dari luar. – Agensi