Israel akui serang sebuah reaktor nuklear Syria pada 2007

Israel buat pertama kalinya mengaku bahawa ia mengebom kemudahan di Syria yang disyakinya adalah sebuah reaktor nuklear pada 2007. Ia turut menyatakan hari ini (21 Mac) bahawa serangan tersebut seharusnya menjadi amaran kepada Iran bahawa ia tidak dibenarkan untuk membangunkan senjata nuklear, lapor Reuters.

Tentera Israel mengeluarkan rakaman kokpit yang sebelum ini dirahsiakan, gambar-gambar serta dokumen perisikan berhubung serangan udaranya pada 6 September 2007 ke atas kemudahan Al-Kubar berdekatan Deir al-Zor di bahagian timur Syria.

Menurutnya, reaktor itu dibina dengan bantuan Korea Utara dan kemudahan tersebut akan diaktifkan dalam hanya beberapa bulan lagi. Namun, Reuters tidak dapat mengesahkan dokumen Israel itu.

Keputusan Israel untuk mendedahkan bahan-bahan rahsia tersebut menyusuli gesaan bertalu-talu oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sejak beberapa bulan kebelakangan ini agar Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas Iran, sekutu Syria.

Menteri perisikan Israel, Israel Katz di Twitter menuliskan bahawa operasi (2007) dan kejayaannya jelas menunjukkan bahawa Israel tidak akan membenarkan senjata nuklear untuk berada di tangan pihak-pihak yang mengancam kewujudan Syria pada ketika itu dan Iran pada hari ini.”

Tentera Israel memberi keterangan terperinci tentang hal-hal yang berlaku sebelum malam 5-6 September 2007 di mana, ia menyatakan bahawa lapan pesawat perang, F-16 dan F-15 menjalankan misi selepas berlepas dari pangkalan udara Ramon dan Hatzerim, menghala ke wilayah Deir al-Zor iaitu 450 kilometer daripada Damsyik. Ia menambah bahawa 18 ton peluru dijatuhkan ke tapak tersebut.

Dalam biografinya pada 2010, “Decision Points,” mantan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush mendedahkan bahawa beliau membincangkan perisikan tentang kemudahan Syria itu dengan Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Ehud Olmert sebelum ia dimusnahkan tetapi bukan beliau yang memberi kebenaran untuk melancarkan serangan berkenaan.

James Jeffrey, timbalan penasihat keselamatan negara di bawah pentadbiran Presiden Bush berkata hari ini bahawa mantan presiden itu “sama sekali menyokong” Israel.

“(Beliau) jelas mengatakan bahawa kami sangat gembira dengan hal-hal yang berlaku yang menghapuskan ancaman tersebut dan sekiranya terdapat apa jua ancaman terhadap Israel yang muncul akibat situasi ini, Amerika Syarikat akan menyokong Israel, habis perkara,” kata Jeffrey kepada Army Radio.

Pada 2008, Amerika Syarikat menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai maklumat risikan yang menunjukkan bahawa Korea Utara membantu Syria dalam “kegiatan-kegiatan nuklear terselindung.”

Pada ketika itu, Syria menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut sebagai sebahagian daripada kempennya untuk mencemarkan nama baik kepemerintahan Damsyik.

“Pemerintah Syria kesal terhadap kempen penipuan dan kepalsuan oleh pentabiran AS ke atas Syria, termasuk dakwaan tentang kegiatan nukear,” menurut satu kenyataan pemerintah di agensi berita Syria itu.

Iran yang menyatakan bahawa program nuklearnya dijalankan dengan tujuan keamanan, memeterai satu perjanjian pada 2015 di mana ia menerima kawalan-kawalan ketat ke atas program nuklearnya sebagai ganti untuk kekangan terhadapnya ditarik.

sumber – MediaAdil

%d bloggers like this: