Iran, Turki bertekad kembangkan kerjasama

Presiden Republik Islam Iran dan Presiden Turki bertekad untuk mengembangkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Hassan Rouhani, Presiden Republik Islam Iran hari Selasa (17 April) dalam perbualan telefon dengan Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki menyebut perluasan kerjasama di segala bidang dalam hubungan kedua-dua negara, seraya menegaskan pentingnya mempercepatkan pelaksanaan seluruh kesepakatan demi memperluaskan hubungan tersebut.

Presiden Iran juga menilai betapa penting kesinambungan perundingan dan lobi-lobi antara Iran dan Turki demi memajukan tujuan perdamaian bersama di kawasan.

Merujuk kepada perkembangan terbaru di Syria, Rouhani berkata kedua-dua negara perlu mengukuhkan kerjasama dan tidak membenarkan ketegangan meningkat di Syria.

Rouhani mengingatkan campur tangan dan tindakan Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel yang mencipta masalah di kawasan, seraya menegaskan, jika negara-negara yang menyerang Syria serius ingin mencari pelaku serangan kimia, mengapa mereka tidak membenarkan para pemeriksa Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) melakukan investigasinya.

Recep Tayyip Erdogan menyatakan hasratnya dan mengalu-alukan perkembangan hubungan Tehran-Ankara lebih dari sebelumnya dalam semua bidang.

Lawatan Menteri Ekonomi Turki ke Tehran untuk menyelesaikan seluruh perjanjian bilateral bakal mempercepatkan peningkatan perdagangan kedua-dua negara.

Presiden Turki menyinggung keadaan Syria dan menegaskan bahawa kerjasama dengan Iran dan Rusia untuk mengurangkan ketegangan dan memajukan proses politik di Syria merupakan keutamaan Ankara.

Erdogan berkata, melindungi kedaulatan Syria dan mencari mekanisme politik untuk menamatkan keadaan yang sedia ada boleh dilakukan dengan usaha bersama.

sumber – MediaAdil

%d bloggers like this: