Mohammad Javad Zarif.

Diplomat tertinggi Iran menolak kemungkinan perang meletus di rantau ini, dengan mengatakan Tehran tidak mahu konflik dan tiada negara boleh “berilusi’ dapat menentang Iran”.

Ketegangan antara Washington dan Tehran meningkat dalam beberapa hari lalu, menimbulkan kebimbangan mengenai potensi konflik Amerika Syarikat-Iran.

Awal minggu ini, AS menarik balik beberapa kakitangan diplomatik dari kedutaannya di Iraq berikutan serangan ke atas kapal tangki minyak di Teluk.

“Tidak akan ada peperangan kerana kita tidak mahu perang, atau sesiapa yang memiliki idea atau ilusi boleh mencabar Iran di rantau ini,” kata Menteri Luar Negeri Mohammad Javad Zarif kepada agensi berita Iran IRNA, dipetik Reuters.
Presiden Donald Trump meningkatkan sekatan ekonomi dan menambah kehadiran tentera AS di rantau itu dengan menuduh Iran mengancam tentera AS dan kepentingannya.

Tehran menyifatkan langkah itu sebagai ‘perang psikologi’ dan ‘permainan politik.’

“Hakikat bahawa Trump secara rasmi mengatakannya dan mengulanginya lagi tidak bermaksud beliau mahukan peperangan, namun orang di sekelilingnya menggesa peperangan atas alasan mereka mahu menjadikan AS lebih kuat berbanding Iran,” kata Zarif. – Malaysia Kini