TEHRAN: Ribuan rakyat Iran membanjiri kubur pengasas republik Islam itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini di ibu kota negara itu hari ini bagi melancarkan keraian menyambut ulang tahun ke-40 revolusi.

Perayaan sambutan revolusi pada 1979 itu bermula pada jam 9.33 pagi waktu tempatan, tepat pada masa Khomeini kembali ke Iran selepas 14 tahun hidup dalam buangan dan pesawat yang membawanya mendarat di lapangan terbang Tehran.

Pancaragam tentera memainkan lagu kebangsaan revolusi, dewan besar kawasan kubur beliau dipenuhi orang ramai pelbagai peringkat kehidupan, antara mereka ialah pelajar yang berpakaian merah, putih dan hijau iaitu warna bendera Iran.

Ketua perhimpunan pakar berpengaruh yang melantik pemimpin agung republik itu, Ayatollah Ahmad Jannati, menyampaikan ucaptama mengecam parti politik yang mahu berbaik dengan Washington.

“Memang terkutuk pemikiran salah yang menyangka kita tidak dapat mentadbir negara tanpa bantuan Amerika Syarikat.

“Kuasa AS semakin berkurangan, kita tidak perlu takut dengan AS,” katanya ketika orang ramai melaungkan slogan ‘Matilah Amerika’ dan ‘Matilah Israel’.

Pada 1 Februari setiap tahun, perayaan ‘Dahe-ye-Fajr’ bermula di Iran menandakan ulang tahun kepulangan Khomeini selepas pemerintah pro-barat meninggalkan Iran susulan demonstrasi besar-besaran.

Perayaan itu dirangkumkan pada 11 Februari, yang menandakan kejatuhan monarki Iran selama 2,500 tahun. — AFP