Imam Masjidil Haram ditangkap?

Sekumpulan aktivis yang menggelar diri mereka ‘Prisoners of Conscience’ mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi menangkap Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr Saleh Al-Talib, berikutan khutbah yang disampaikannya.

Menerusi laman Twitternya, kumpulan itu mendakwa Sheikh Saleh ditangkap selepas memberi ucapan awam mengenai melakukan kejahatan dan tanggungjawab umat Islam menentangnya.

Sementara itu, Al-Khaleej Online yang turut melaporkan mengenai penangkapan Sheikh Saleh, mempersoalkan sama ada beliau sendiri memuat naik statusnya dalam media sosial.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai penangkapan itu.

Minggu lalu, akhbar al-Quds al-Arabi melaporkan seorang ulama yang juga bekas profesor di Universiti Imam Mohammed bin Saud, Sheikh Nasser al-Omar, ditangkap.

Tindakan terhadap Sheikh Nasser itu juga dibuat selepas beberapa ulama, anak raja, penulis, pemikir dan aktivis Arab Saudi ditangkap dalam operasi di seluruh negara sejak lebih setahun lalu.

September tahun lalu, beliau pernah disoal siasat, dan diarah berikrar untuk tidak campur tangan atau membincangkan isu politik Arab Saudi.

Abdullah al-Odah, anak lelaki Sheikh Salman al-Odah yang ditangkap lebih awal, memberitahu al-Quds al-Arabi bahawa Sheikh Nasser ditahan di Makkah.

Sejak tahun lalu, Putra Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman melancarkan operasi menahan ratusan anak raja, pendakwah, dan ulama, termasuk Salman al-Awda, Safar al-Hawali dan Awad al-Qarni, dengan alasan membanteras rasuah dan keganasan.

Minggu lalu, seorang ulama, Sheikh Suleiman Dweesh meninggal dunia ketika di dalam tahanan. Beliau ditangkap pada April 2016 selepas membuat kenyataan kritikal terhadap Putera Mahkota Mohammad.