Imam besar Masjidil Haram ulas khutbah Melayu, berita palsu

Tiga editor kanan dari Malaysia berkesempatan berada di empat kota Arab Saudi baru-baru ini untuk meninjau perkembangan yang sedang berlaku di negara itu.

Ketika di kota Kaabah, mereka berpeluang bertemu Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais di pejabat beliau yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram.

Sheikh Abdul Rahman baru sahaja selesai mengimamkan solat Zuhur sebelum bertemu tiga editor tersebut bersama seorang pegawai pengiring tempatan.

Beliau kelihatan senang hati semasa menyambut kehadiran mereka dan sentiasa mengeluarkan kata-kata pujian terhadap Malaysia dan jemaah Hajinya.

Walaupun jadualnya padat ketika itu, Sheikh Abdul Rahman sempat berbicara mengenai beberapa topik yang dibangkitkan oleh editor-editor itu antaranya mengenai jemaah haji Malaysia, projek peluasan Masjidil Haram, Islam dan Kemajuannya, berita palsu serta peranan kaum wanita.

Editor berkenaan ialah Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Berhad, Datuk Othman Mohamad, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama.

Selain Makkah, mereka turut dibawa melawat ibu kota Riyadh, Jeddah dan kota suci Madinah.

Berikut antara topik yang dibualkan oleh Sheikh Abdul Rahman semasa pertemuan itu.

Jemaah haji Malaysia:

Keistimewaan yang dimilliki jemaah haji Malaysia ialah mereka sangat teratur kerana urusan penyelarasan yang sempurna. Kami ingin memuji contoh baik yang ditunjukkan jemaah Malaysia dalam menjaga adab-adab di Haramain dan sentiasa mematuhi peraturan tempat suci itu.

(Terima kasih juga) atas sambutan baik daripada Malaysia terhadap Imam-Imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam lawatan mereka ke Malaysia.

Khutbah Bahasa Melayu:

Berita gembira untuk rakyat Malaysia bahawa Penjaga Dua Kota Suci bersetuju untuk melaksanakan projek terjemahan khutbah Jumaat di Makkah, Madinah dan khutbah di Padang Arafah (Musim Haji) ke dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu salah satu daripada 10 bahasa dalam projek terjemahan ini.

(Pelaksanaan) projek ini dilihat penting untuk (masyarakat) Asia Tenggara dan dengan memasukkan bahasa Melayu (dalam projek ini) akan memberi manfaat kepada mereka.

Projek peluasan Masjidil Haram:

Kami ingin menyampaikan berita gembira tentang projek peluasan Masjidil Haram dan terima kasih atas usaha Penjaga Dua Kota Suci dan Putera Mahkota dalam menjayakan projek ini.

Projek peluasan Masjidil Haram fasa ketiga sudah hampir untuk menerima para tetamu Allah menjelang Ramadan tahun ini yang mampu menampung tambahan 1.6 juta orang.

Dalam masa yang sama, projek pemulihan telaga Zam Zam sudah selesai manakala kawasan tawaf baru di Masjdil Haram dibuka untuk menampung 107,000 orang pada setiap jam.

Arab Saudi turut memanfaatkan pengalaman yang dikongsikan oleh jemaah Malaysia dalam usaha melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan dan sistem di Haramain.

Tangkis dakwaan:

Projek peluasan dan pemulihan di Haramian sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu yang cuba menimbulkan keraguan terhadap tanggungjawab Arab Saudi menjaga dua kota suci Islam hingga mencadangkan langkah mengantarabangsakan Haramain.

Perkara ini membuka ruang kepada timbulnya pelbagai berita tidak benar dan menjejaskan kewibawaan serta komitmen Arab Saudi melaksanakan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan terbaik di dua kota suci itu.

Malaysia contoh terbaik negara Islam:

Malaysia merupakan contoh terbaik bagi seluruh dunia dalam memberikan gambaran sebenar mengenai Islam terutama melalui konsep kesederhanaan.

Malaysia dan Arab Saudi bersama-sama memerangi keganasan dan pendirian kedua-dua negara dalam isu ini merupakan contoh.

Di sini pentingnya peranan media dalam menyampaikan mesej Islam yang sebenar.

Generasi muda:

Soalan ini sangat penting dan mesej untuk pemuda pemudi adalah pentingnya mereka memahami Islam sebenar dan membezakan antara ekstrem dan kesederhanaan di zaman moden hari ini.

Cabaran besar bagi pemuda pemudi hari ini ialah kebanyakan mereka tenggelam daripada memahami mesej Islam sebenar.

Mereka perlu menggunakan ilmu dalam menghadapi cabaran nafsu dan syubhah. Mereka perlu bangga dengan Islam dan sentiasa menunjukkan imej dan semangat Islam dalam pelbagai bidang.

Berita palsu:

Islam mengajar kita cara-cara menerima satu berita melalui Al-Quran dan Sunnah.

Firman Allah Taala dalam Surah al-Hujurat ayat ke- 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Surah al Nur ayat 12: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

Surah al-Nur ayat 16: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

Sabda Rasullah s.a.w: “Sudah cukup pembohongan berlaku sekiranya seseorang itu hanya bercerita dengan apa yang didengarinya sahaja.”

Oleh itu, Islam telah mengajar kita menghadapi berita palsu sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Islam dan kemajuan:

Setiap orang yang bergelar Islam mesti merujuk syariat Islam dan maqasidnya dalam kemaslahatan kehidupan seharian. Islam tidak menghalang umatnya untuk maju ke hadapan dan menaikkan taraf kehidupan. Oleh itu, Islam dijadikan sebagai panduan sepanjang zaman.

Bagaimanakah kita nak memimpin umat Islam seluruh dunia, sedangkan umat Islam diasingkan dan dijauhkan daripada pembangunan dan perkembangan semasa.

Inilah yang kita lihat untuk masa hadapan Arab Saudi dalam kemajuan negara ini dan kita akan terus memanfaatkannya.

Peranan wanita:

Kaum wanita mempunyai darjat dalam Islam dan ia memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling berlandaskan syariat Islam.

Pandangan tertutup terhadap kaum wanita adalah pandangan tidak baik. Selain itu juga, pandangan yang sangat terbuka dan tidak berdasarkan Islam dengan meninggalkan hijab, kemuliaan dan malu kaum wanita, juga tidak tepat dalam Islam. Yang mereka perlu ada dalam diri adalah dengan mengekalkan kesederhanaan.

Wanita Arab Saudi dan wanita Malaysia boleh menjadi contoh sebenar dalam mencerminkan imej Islam.


Nota:

Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais, 58, ialah Imam Besar Masjidil Haram di Makkah. Beliau juga merupakan Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Beliau sudah menghafal Al-Quran pada usia 12 tahun.

sumber – MalaysiaKini