David Roet, bekas timbalan Duta Israel ke PBB merupakan wakil rasmi pertama negara Israel yang kami ketahui dibenarkan masuk ke Malaysia secara rasmi.

Beliau diberitakan ke Malaysia menghadiri sidang UN- HABITAT Forum tentang isu penempatan semula.

Perlu diingatkan bahawa Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan rakyat Malaysia tidak dibenarkan pergi ke Israel.

Akhbar negara itu,  ‘The Times of Israel‘ melaporkan turut bersama rombongan tersebut ialah bekas menteri Israel dan beberapa pegawai dari kementerian luar Israel.

Akhbar tersebut juga mengalu-alukan perdagangan ‘ber-profil rendah’ yang sedang berkembang pesat di antara Israel dan Malaysia yang kini bernilai lebih kurang RM 6 billion.

Pihak Israel kelihatan amat gembira dengan sikap terbuka dan bermurah hati kerajaan Malaysia. Ramai rakyat Islam terkejut dan amat berduka-cita tentang perkembangan terbaharu ini yang tidak diumumkan kepada rakyat jelata.

Sejak bila kerajaan Malaysia membenarkan pegawai tertinggi Israel memasuki negara kita?

Adakah kita sudah menggadai maruah umat Islam dalam peristiwa negara Israel ini kerana wang dan perdagangan semata mata?

Hantar pulang Uighur Muslim ke China

Baru beberapa hari lepas Timbalan Perdana Menteri sanggup menghantar pulang 12 orang kaum Uighur Muslim yang tertindas pulang ke negara China atas alasan menjaga ‘hubungan baik’ antara negara yang termasuk isu perniagaan.

Apa sudah jadi kepada nilai maruah umat Islam Malaysia hari ini ?

Apa sebenarnya polisi dan sikap kerajaan Malaysia kini terhadap Israel? Adakah Malaysia sudah berlembut kepada Israel dengan membenarkan pegawai tertinggi mereka memasuki negara kita?

Adakah ini hasil amalan wasatiyah Datuk Seri Najib Razak atau atas nasihat ‘Global Movements of Moderates’ yang diketuai oleh Nasaruddin Mat Isa yang menyebabkan kerajaan mengubah dasar dan sikap? Rakyat ingin tahu.

Atau adakah kerana Najib Razak begitu taksub mengikut jejak langkah kerajaan Arab Saudi yang telah didedahkan oleh Menteri Israel sendiri mempunyai hubungan rapat yang sulit dengan Israel?

Adakah Malaysia telah menjalinkan hubungan sulit dengan Israel?

Apa jua yang sebenarnya, kita minta kerajaan hentikan sandiwara lakonan anti-Israel di khalayak ramai tetapi berbaik-baik secara sulit.

Najib Razak lambat membuat kenyataan mengecam tindakan Amerika memindah kedutaannya ke Baitul Maqdis dan Malaysia kelihatan tidak bersungguh-sungguh mengutuk perbuatan tersebut.

Tindakan membenarkan pegawai tertinggi lsrael memasuki Malaysia dan juga pegawai kita bertemu dengan pegawai Israel di Malaysia seperti dilaporkan dengan bangga oleh akhbar Israel adalah suatu pengkhianatan besar kepada rakyat Palestin dan juga Malaysia.

Datuk Seri Najib perlu menjawab secara rasmi dan berterus-terang tentang isu ini segera!

sumber – malaysiakini