KERAJAAN Australia hari ini telah mengeluarkan perintah larangan ke atas syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei Technologies Co Ltd daripada membekalkan peralatan untuk rangkaian 5G negara itu.

Menurut Agensi Berita Nikkei, perintah larangan itu dikeluarkan atas faktor menghalang gangguan atau campur tangan dari pihak asing ke atas Australia.
Penglibatan Huawei dalam menyediakan rangkaian yang terlindung dari pemantauan agensi keselamatan Australia, telah menjadi titik kontroversi dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara itu.

Ia menjadi lebih serius susulan terdapat dakwaan sebelum ini bahawa China cuba mencampuri urusan dalaman berkenaan politik Australia.

Menurut kenyataan itu lagi, penyedia perkhidmatan yang mempunyai kecenderungan untuk menerima arahan secara langsung dari kerajaan luar, boleh mengakibatkan rangkaian komunikasi Australia terdedah kepada ancaman asing, termasuk akses yang tidak mempunyai kebenaran.

Walaupun kenyataan rasmi itu tidak menyebut nama syarikat secara langsung, namun seorang pegawai kanan kerajaan Australia yang enggan dikenali, memberitahu Nikkei bahawa perintah itu ditujukan secara terus kepada Huawei.

Perintah larangan itu turut menyerupai langkah yang dilakukan kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini ke atas Huawei sebelum ini, atas sebab-sebab keselamatan.

AA