Lima hospital di Palestin terpaksa berhenti beroperasi dalam tempoh beberapa jam berikutan kegagalan penjana serta kekurangan bekalan bahan api.

Justeru, Kementerian Kesihatan Gaza merayu supaya bantuan segera diberikan bagi menangani krisis tenaga dan kekurangan bahan api di wilayah itu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, kekurangan bekalan elektrik boleh mengakibatkan penutupan hospital Palestin.

Minggu lalu, hospital Beit Hanoun di utara Gaza telah berhenti beroperasi.

“Kehidupan beratus-ratus pesakit termasuk kanak-kanak di hospital Gaza berada di bawah ancaman buruk,” kata al-Qidra.

Disebabkan cuaca sejuk dan peningkatan bekalan elektrik, penggunaan bahan api telah meningkat, menyebabkan stok di lima hospital turun kepada 17 peratus, kata al-Qidra.

“Langkah-langkah penjimatan yang diambil oleh kementerian adalah muktamad,” katanya.

Tahun lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Kesihatan Palestin, Dr Ashraf Abu Mahadi merayu semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa menyumbang dana bagi membiayai kos bahan api yang diperlukan untuk operasi hospital-hospital di Gaza.

“Jumlah minimum bahan api yang diperlukan untuk memenuhi keperluan 13 buah hospital di bawah Kementerian Kesihatan adalah kira-kira 450,000 liter sebulan,” katanya.

Gaza yang terus menderita di bawah pengepungan Israel, telah berusaha keras untuk mengatasi kekurangan bekalan elektrik sejak 2006. – Agensi