Rakyat harus taat setia kepada negara, menghormati Perlembagaan dan mematuhi undang-undang serta bertanggungjawab untuk bersama mengekalkan kestabilan sosiobudaya yang wujud dalam negara seperti saling menghormati sesama kaum, agama dan budaya.

Imam Masjid Kampung Baru, Muhammad Asem Salleh Sani berkata, umat Islam sewajarnya menjadikan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sebagai contoh dan teladan dalam berinteraksi dengan masyarakat majmuk dan kuncinya ialah dengan mengamalkan toleransi dalam pergaulan serta kehidupan seharian.

​​​​​​​”​​​​​​Islam mendidik umatnya agar menyuburkan semangat patriotik dan cintakan negara demi agama. Para Nabi terdahulu khususnya Nabi Ibrahim Alaihissalam telah menzahirkan cinta kepada negara dengan doa-doanya kepada Allah ﷻ. Landasan cintanya itu adalah kerana agama,” katanya menyampaikan khutbah solat Jumaat di Masjid Kampung Baru di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

​​​​​​​Khutbah bertajuk ‘Raja Di Daulat, Negara Dimartabat’ itu disampaikan sempena perisytiharan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Muhammad Asem berkata, urusan kepimpinan negara adalah suatu tanggungjawab yang amat besar dan penting dalam Islam, antara rahmat serta kasih sayang Allah ﷻ kepada sesuatu umat dan negara ialah Dia mengurniakan kepada wargaNya pemimpin-pemimpin yang bertakwa.​​​​​​​

“Mereka (pemimpin) bertindak menunaikan amanah dan tanggungjawab mengurus pentadbiran negara dengan keadilan. Lantaran itu, wujud persekitaran yang kondusif, politik yang stabil, ekonomi yang pesat, pendidikan yang berkembang dan lain-lain kebaikan hasil daripada keberkatan yang melimpah ruah kepada warganya,” katanya.​​​​​​​

Beliau berkata, mentaati pemimpin yang adil adalah wajib, ini yang disepakati majoriti ulama tafsir, fuqaha dan lain-lain. Perintah itu adalah daripada Allah ﷻ, jika rakyat menderhaka kepada pemimpin yang adil ertinya mereka juga menderhaka kepada Allah ﷻ.

Muhammad Asem menyeru agar umat Islam menghayati firman Allah ﷻ di dalam surah Al-Nisa ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, hendaklah kamu mentaati Allah, taatilah RasulNya dan para pemimpin dalam kalangan kalian. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikannya kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kiamat. Yang demikian itu lebih utama (untuk kamu) dan lebih baik akibatnya“.

“Melihat kepada situasi hari ini, kita merasa amat sedih dan kesal kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang memperlekehkan institusi beraja dan peranannya. Mereka juga menzahirkan kebencian mereka kepada institusi ini dengan cara menghina, mengutuk dan menggelar dengan gelaran yang buruk di media sosial.​​​​​​​

“Apa yang menyedihkan perbuatan ini dilakukan oleh umat Islam sendiri. Ini bukan suatu perkara yang kecil dan remeh. Malah, jika ia dibiarkan, lama kelamaan ia akan menghakis keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekali gus mencalarkan institusi tertinggi pentadbiran di negara ini.​​​​​​​

Sehubungan itu, katanya, perkara itu (memperlekehkan institusi beraja dan peranannya) dilihat sebagai agenda menanamkan bibit-bibit penolakan institusi raja di negara ini dan sudah tentu perbuatan sedemikian adalah termasuk dalam perkara kederhakaan ataupun Bughah, katanya.​​

Beliau meminta umat Islam bekerjasama dalam memelihara kesucian agama, keselamatan negara dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan institusi itu daripada ancaman dalaman mahupun luaran. – Bernama