Kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah, menyatakan ia kini memiliki peluru berpandu tepat walaupun Israel berusaha keras menghalang penghantaran senjata oleh Iran, termasuk melakukan ratusan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di Syria.

“Ia sudah dilakukan. Kita kini memiliki peluru berpandu tepat dalam persenjataan kita,” kata pemimpin Hizbullah berucap di televisyen sempena Hari Asyura yang disambut Syiah, hujung minggu lalu.

Israel mengaku melakukan lebih 200 serangan di Syria dalam tempoh 18 bulan lalu, menyasar kemudahan tentera Iran sebagai penyokong Hizbullah serta penghantaran senjata ke Damsyik yang dibimbangi sampai kepada Hizbullah.

Israel menegaskan ia akan menghalang Iran serta Hizbullah daripada memiliki senjata canggih.

Iran adalah sekutu kuat rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria dengan membekalkan penasihat tentera, kewangan dan sokongan politik serta kumpulan bersenjata. Kira-kira 10,00 anggota Hizbullah terbabit dalam perang di Syria.

“Cubaan di Syria untuk menghalang senjata ini gagal.

“Jika Israel melancarkan perang terhadap Lubnan, ia akan menghadapi nasib yang ia tidak jangka,” kata Nasrallah.

Israel sudah beberapa kali berperang dengan Hizbullah dengan kali terakhir pada 2006.

Tentera Israel percaya pertubuhan itu memiliki antara 100,000 hingga 120,00 peluru berpandu jarak dekat serta roket selain ratusan misil jarak jauh dan jika berlaku perang, Lubnan akan melancarkan ribuan roket serta misil sehari.

Namun, kebanyakannya tidak memiliki sistem pandu menyebabkan senjata terbabit kurang berkesan serta mudah dipintas.

Namun, keupayaan Iran membangunkan peluru berpandu tepat yang dibekalkan kepada Hizbullah membimbangkan Israel selain kemungkinan Teheran membina kilang senjata itu di Lubnan.

HMetro