Hebatnya AI

Kecerdasan buatan (AI). Topik yang menjadi perbualan masa kini memandangkan ia inovasi yang membawa dunia menuju masa depan.

Apa kesannya kepada masyarakat?

Naib Presiden Korporat Microsoft Corp (Microsoft), Ralph Haupter, berkata terdapat segelintir mengambil pendekatan berhati-hati dalam perkembangan AI dengan menggambarkan masa depan yang suram kerana AI dikatakan bakal menjadikan sejumlah besar penduduk tiada kerja.

“Capaian AI tidak diagihkan dengan sekata dalam kalangan penduduk dan privasi serta kebebasan awam semakin terancam akibat keperluan AI untuk mengumpulkan data yang tiada sempadan.

“Tidak dinafikan AI akan menimbulkan cabaran baru kepada masyarakat yang perlu ditangani dengan bijak dan teliti,” katanya.

Bagaimanapun, Haupter, berkata kebimbangan ini tidak harus membayangi potensi besar yang ditawarkan AI kepada masyarakat.

“Ia berasaskan lima faktor iaitu capaian, pertanian, perubahan iklim, penduduk dan kesihatan,” katanya.

Rantau Asia Pasifik kini mempunyai 690 juta penduduk yang mengalami kehilangan upaya namun AI boleh membantu golongan yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, kognitif, pembelajaran dan pergerakan untuk melakukan tugas harian secara lebih bebas.

“Sebagai contoh, Seeing AI ialah aplikasi percuma yang memanfaatkan keupayaan AI untuk mengenal pasti pelbagai jenis isyarat visual termasuk wajah, emosi dan tulisan tangan.

“Data terbabit kemudian ditukarkan kepada keterangan audio untuk individu yang mengalami masalah penglihatan sekali gus membolehkan 285 juta orang di seluruh dunia yang dibelenggu masalah penglihatan menguruskan aktiviti harian mereka, lantas memudahkan mereka menempuhi dunia visual,” katanya.

Bagi pertanian pula yang menjadi nadi kepada Asia ditambah pula rantau yang paling padat dengan lebih 4.5 bilion penduduk iaitu kira-kira 60 peratus populasi global, hakikatnya akan membebankan rantaian bekalan makanan.

“Melainkan petani boleh mencari cara baru untuk memenuhi permintaan seperti menggunakan AI dan kaedah analitik untuk meningkatkan hasil tani mereka dengan ketara.

“Di India, Microsoft bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan keuntungan, International Crop Research Institute for the Semi-Arid Tropics (ICRISAT) untuk membangunkan aplikasi AI Sowing App yang memberi nasihat kepada peladang mengenai tarikh optimum untuk menuai tanaman, berasaskan keadaan cuaca, tanah dan petunjuk lain.

“Penyelesaian ini meramalkan tempoh penyemaian optimum dengan menggunakan AI untuk menganalisis data cuaca sejarah 30 tahun lepas dan mengira kecukupan hujan dan lembapan tanah menggunakan data masa sebenar dan model ramalan cuaca,” katanya.

Malah, program itu tidak memerlukan petani menanggung perbelanjaan modal seperti memasang sensor di ladang mereka menjadikan penyelesaian ini amat sesuai bagi pasaran sedang membangun.

Salah satu cabaran paling mendesak pada abad ke-21 ialah perubahan iklim dan kesan yang boleh mengancam kesihatan manusia, prasarana dan sistem semula jadi.

“Salah satu punca utama perubahan iklim ialah pengeluaran karbon,” katanya.

Mengambil contoh Microsoft, Haupter berkata, salah satu langkah yang diambil termasuk mendapatkan bantuan AI untuk menguruskan operasi dan prasarana pusat data kami.

“Hasilnya, kurang tenaga elektrik diperlukan untuk mengendalikan keperluan perkomputeran dan pendinginan pusat data kami.

“Malah, perkhidmatan ‘cloud’ kami adalah 93 peratus lebih cekap guna tenaga dan sehingga 98 peratus lebih cekap dari segi karbon berbanding pusat data enterpris biasa,” katanya.

Pendidikan adalah salah satu daripada batu asas untuk membina masa depan yang lebih cerah dan kita memanfaatkan kuasa AI untuk menambah baik pengalaman pendidikan bagi pelajar dan meningkatkan hasil di sekolah.

“Di Andhra Pradesh, sebuah negeri di selatan India, Microsoft berganding bahu dengan kerajaan untuk melancarkan aplikasi baharu yang meramalkan pelajar sekolah yang mungkin tercicir.

“Dipacu oleh pembelajaran mesin, keupayaan AI dan perkomputeran cloud, penyelesaian ini memproses data kompleks yang termasuk maklumat pendaftaran, prestasi pelajar, jantina dan demografi sosioekonomi, infrastruktur sekolah dan kemahiran guru untuk mengenal pasti corak yang boleh diramalkan,” kata Haupter.

Sekali gus, ia membolehkan kumpulan pentadbir dan pendidik untuk campur tangan lebih awal dan menyasarkan pelajar yang paling berisiko dengan program dan kaunseling untuk mengelakkan keciciran.

Teknologi AI juga berpotensi membantu penyedia perkhidmatan kesihatan dalam usaha mereka menangani beberapa penyakit paling berleluasa yang kita hadapi pada hari ini dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Asia yang semakin bertambah.

Di India, Microsoft berganding bahu dengan salah sebuah pertubuhan kesihatan yang terbesar di negara ini, Apollo Hospitals, untuk membangunkan rangkaian tertumpu AI bertujuan menyelesaikan masalah penyakit kardiovaskular yang menyebabkan hampir satu pertiga daripada kematian di seluruh dunia.

Di India saja, hampir tiga juta serangan jantung berlaku setiap tahun dan dianggarkan bahawa 30 juta penduduk India mengalami penyakit koronari.

“Dengan menggabungkan kepakaran AI Microsoft dan pengalaman dan ilmu Apollo Hospitals dalam bidang kardiologi, kerjasama ini bertujuan membangunkan model pembelajaran mesin baharu untuk meramalkan risiko bagi pesakit jantung dan membantu doktor merangka pelan rawatan,” katanya.

Semua tadi manfaat luar biasa yang dibawakan oleh AI dalam kehidupan kita walaupun memang jelas kita masih berada di peringkat awal pembangunan.

Perjalanan AI masih jauh tapi ia perjalanan yang cerah di penghujung.

sumber – HarianMetro