Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki Syria, Hassan al-Kontar, 36, yang berada di kawasan larangan di KLIA2 sejak Mac lalu semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lelaki itu dikatakan berada di lapangan terbang itu kerana enggan pulang ke negara asalnya.

“Dia sebelum ini dihalang masuk ke Kemboja, tetapi masuk pula ke negara ini.

“Memandangkan dia berada di kawasan larangan, kita berkerjasama dengan PDRM untuk menahannya semalam,” katanya selepas Majlis Pelancaran Reka Bentuk Pas dan Visa Malaysia yang baharu di sini hari ini.

Hassan mendakwa tinggal di lapangan terbang tersebut sejak 7 Mac lalu kerana bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria.

Sebelum ini, Hassan menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media antarabangsa dengan menghantar blog video mengenai kehidupan hariannya di Twitter dan Facebooknya.

– Media Adil