Harga bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama hasil kerjasama Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Proton-Geely), ditetapkan pada RM99,800 hingga RM123,800 mengikut variannya.

Harga itu diumum pada majlis pelancarannya oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam tadi.

Memiliki empat varian harga bagi X70 2WD Standard ialah RM99,800; Executive 2WD (RM109,800); Executive AWD (RM115,800) dan Premium 2WD (RM123,800).

Semua harga berkenaan tidak termasuk insurans.

Dr Mahathir dalam ucapannya berharap kerjasama kedua-dua syarikat kereta itu, akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar pada masa depan.

Sejak menjalin kerjasama dengan Geely, Proton mencatat kemajuan termasuk pelancaran SUV pertamanya, X70.

“Pastinya kereta ini bukan direka bentuk dan dibina oleh Proton secara menyeluruh tetapi untuk mempercepatkannya berada di jalan, anda perlu lakukan ini untuk menjimatkan masa,” katanya selepas pelancaran empat varian model kereta itu di sini, malam ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Proton perlu terus berkembang maju dan turut serta dalam membangunkan model baharu.