Datuk Bandar Baitulmaqdis bercadang mengeluarkan agensi pelarian Palestin, UNRWA dari bandar ini bagi ‘menamatkan pembohongan mengenai masalah pelarian Palestin’.

Nir Barkat berkata, kemudahan yang diuruskan Agensi Pekerjaan dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) seperti klinik dan pusat sukan di Baitulmaqdis Timur, akan diserahkan kepada pihak berkuasa Israel.

Menurutnya, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh, namun sekolah untuk 1,800 murid Palestin akan ditutup hujung tahun ini.

Menurut Al-Jazeera, Barkat yang akan melepaskan jawatannya menjelang pilihan raya majlis perbandaran hujung bulan ini berkata, keputusan Amerika Syarikat menghentikan dana AS$300 juta (RM1.2 bilion) kepada UNRWA awal tahun ini, antara sebab langkah terbabit diambil.

“Keputusan Amerika itu membuka peluang menggantikan khidmat yang dikendalikan UNRWA dengan Majlis Perbandaran Baitulmaqdis,” katanya.

Datuk Bandar Israel yang menjajah Baitulmaqdis itu menuduh UNRWA beroperasi secara haram dan menggalakkan kebencian kepada Israel.

“Kami akan menamatkan pembohongan ‘masalah pelarian Palestin’ dan cubaan mewujudkan kedaulatan palsu dalam sesuatu kedaulatan,” katanya yang turut mendakwa sekolah serta klinik beroperasi secara haram tanpa lesen pihak berkuasa Israel.

UNRWA ditubuhkan pada 1949 selepas 700,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan negara mereka oleh tentera Zionis untuk mewujudkan negara Israel.

Agensi itu menyediakan pendidikan, kemudahan perubatan dan khidmat sosial kepada lebih lima juta pelarian Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki Israel serta di Jordan, Lubnan dan Syria.

UNRWA juga membantu lebih dua juta penduduk Gaza yang menderita akibat sekatan rejim Zionis sejak 10 tahun lalu.

Israel tidak bersetuju dengan cara UNRWA mendaftarkan pelarian dengan memasukkan waris pelarian asal yang dihalau bagi membentuk Israel.

Rejim Zionis bimbang menurunkan warisan taraf pelarian daripada ibu bapa kepada anak dan cucu mengancam Israel kerana penduduk Palestin menuntut untuk pulang ke negara mereka.

– Harian Metro