Hanya Goh-Shevon Teruskan Cabaran Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjadi wakil tunggal Malaysia yang akan meneruskan cabaran selepas dua lagi pasangan beregu negara tersingkir pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Jakarta, Jumaat.

Beregu bukan pilihan itu mencipta kejutan apabila menewaskan rakan senegara yang juga pilihan ketujuh, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing; 15-21, 21-16 dan 21-16 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Istora Senayan, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Goh-Shevon akan berdepan pilihan keenam, Zheng Siwei-Huang Yaqiong di separuh akhir esok, selepas gandingan dari China itu mengejutkan pilihan keempat, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong; 21-14, 21-15 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, ditunjuk jalan keluar pada kejohanan berkenaan selepas tumpas 18-21, 22-20 dan 12-21 kepada pilihan ketiga, Liu Cheng-Zhang Nan dari China.

Cabaran Malaysia dalam tiga kategori perseorangan lelaki serta perseorangan dan beregu wanita, berakhir selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan awal. – Bernama