Hanya 13 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang masih belum mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil memaklumkan, 24 anggota pentadbiran termasuk setiausaha politik juga tidak berbuat demikian.

Menurut beliau, sehingga kini sejumlah 115 ahli Parlimen PH dan 63 anggota pentadbiran telah mengisytiharkan harta masing-masing.

“Terpulang pada mereka untuk isytihar harta kerana itu janji-janji mereka sebelum ini dan lagi satu, tiada peruntukkan undang-undang khusus bagi mewajibkan melakukan sedemikian.

“Hal ini kerana tertakluk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Kod Etika Ahli Parlimen untuk anggota Kabinet dan ahli Parlimen bagi pengisytiharan harta,” katanya ketika ditemui selepas program Tinjauan Mesra Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 di ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.

Menurut Shamshun Baharin, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada kerajaan dan pembangkang mengisyiharkan harta masing-masing.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibuat menerusi pindaan Akta SPRM atau satu undang-undang baharu yang bakal dibentang di Parlimen pada April 2019.

“Kewajipan mengisytiharkan harta ini juga bakal merangkumi pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“SPRM masih melakukan kajian berhubung cadangan pindaan akta atau undang-undang baharu berkenaan usaha ini,” katanya. – Utusan Online