Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menegaskan tidak akan menerima dana daripada Qatar untuk Semenanjung Gaza selepas rejim pengganas Israel menghalang penyerahannya di sepanjang sempadan dan kawasan diduduki.

“Kami enggan menerima dana ketiga daripada Qatar sebagai tindak balas terhadap tingkah laku Israel, di samping mengelak berlakunya persetujuan,” kata pegawai kanan Hamas, Khalil al-Hayya.

Hayya bagaimanapun tidak menyebut syarat-syarat tertentu yang berubah, tetapi beliau yakin rejim Israel sedang bermain politik dengan dana berkenaan menjelang pilihan raya akan datang.

Difahamkan, Hamas enggan menerima syarat-syarat itu kerana Israel menuntut sekiranya dana berkenaan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza, maka protes mesti dihentikan.

Di bawah perjanjian tidak rasmi yang berlaku pada November lalu, negara Teluk, Qatar telah memberi dana sebanyak AS$15 juta sebulan untuk Semenanjung Gaza.

Dana itu digunakan untuk membayar gaji pekerja Hamas dan tanda sokongan kepada penduduk miskin di Gaza supaya kekal bertenang di sepanjang sempadan, yang mana protes berlaku sejak Mac 2018.

Sebahagian daripada dana ketiga Qatar dijangka akan memasuki Semenanjung Gaza pada minggu ini, bagaimanapun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menghalang kemasukkan dana berkenaan Selasa lalu berikutan anggota tentera Israel cedera ringan ketika berada berhampiran pagar sempadan.

Semenanjung Gaza telah berada di bawah pengepungan Israel sejak Jun 2007.

Sekatan dan serangan udara menyebabkan kemerosotan taraf hidup, pengangguran serta kemiskinan teruk berlaku kepada penduduk Gaza. – Agensi