Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyambut baik keputusan Malaysia menghalang athlet rejim Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Hamas dalam satu kenyataan semalam, memuji keputusan Malaysia yang mencerminkan pendirian tegas Putrajaya terhadap semua bentuk hubungan dengan rejim Israel.

“Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam nada tegas ‘jika penganjur hendak menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia sekali pun, mereka boleh berbuat demikian’.

“Kenyataan ini menunjukkan bahawa Malaysia tanpa berbelah-bahagi berdiri teguh menyokong hak rakyat Palestin untuk mempertahankan dan membebaskan tanah mereka yang diduduki, terutama Kota Suci Baitulmaqdis.

“Hamis mengalu-alukan pendirian Malaysia dan menggesa semua negara Arab dan Islam menamatkan hubungan dengan rejim Israel yang disifatkan sebagai menikam rakyat Palestin dari belakang,” kata Hamas.

Hamas berkata, mengadakan hubungan dengan rejim pengganas Israel sama dengan menyokong penghapusan hak rakyat Palestin untuk mengecapi kebebasan, kedamaian dan tinggal di negara sendiri.

Khamis lalu, Dr Mahathir tetap dengan pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan atlet renang Israel memasuki Malaysia.