Anggota biro politik Hamas, Fathi Hammad, menyeru semua pihak bersama-sama berjuang dalam Infitadah melawan rejim penjajah Zionis.

Dalam kenyataan beliau ketika mengusung jenazah tiga syuhada al-Qassam yang gugur syahid akibat serangan kereta kebal tentera Zionis semalam, beliau menegaskan semua pihak harus bergerak dan jangan tinggalkan Gaza bertempur bersendirian. Negara-negara Arab dan Islam perlu bergerak menyelamatkan Palestin. “Kami tidak perlukan air mata anda, yang kami perlukan adalah pembelaaan anda,” kata beliau.

Menurut Fathi, rejim Zionis baru-baru ini mengemis gencatan senjata kepada Mesir, Qatar dan beberapa negara lain. Namun gencatan senjata tersebut tidak membawa sebarang faedah kepada Netanyahu [pemimpin negara Zionis], sebaliknya al-Qassam akan memberikan pelajaran berharga kepada rejim Zionis sebagaimana dalam perang-perang terdahulu.

Semalam, tiga pejuang al-Qassam syahid dan seorang lagi cedera parah diserang dengan tembakan kereta kebal. Sementara seorang askar Zionis cedera ditembak di kawasan penempatan haram Kesuvem, selatan sempadan Gaza.

– Haluan Palestin